Banjir: Pahang Bina Pusat Pemindahan Tetap Pertama Di Malaysia
MARAN, 22 November 2023 – Kerajaan Pahang membina Pusat Pemindahan Tetap (PPT) mangsa banjir pertama di Malaysia dengan menelan belanja sebanyak RM650,300 di Kampung Luit, Maran.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pusat pemindahan itu inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan risiko bencana banjir yang berlaku setiap tahun.
“PPT Kampung Luit di Maran merupakan PPT pertama seumpamanya di Malaysia dilengkapi pelbagai kemudahan asas ketika bencana banjir antaranya bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan membersihkan diri.”
“PPT ini mampu menampung 24 keluarga mangsa banjir pada satu-satu masa sekali gus memberi keselesaan dan keselamatan terbaik kepada mangsa banjir,” katanya selepas Majlis Perasmian PPT Pertama di Malaysia di Kampung Luit, pada Selasa.
Jelasnya, Kerajaan negeri memperuntukkan RM30.65 juta bagi membina di lima daerah di negeri ini termasuklah di Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan.
“Pusat Pemindahan Tetap di daerah Maran telah mula beroperasi, manakala empat buah PPT lagi masih dalam proses pembinaan yang dijangka dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.”
Menurutnya, dana bagi membina PPT itu adalah peruntukan khas kerajaan negeri yang komited mengubah status quo mangsa banjir yang sebelum ini terpaksa tinggal di masjid dan lain-lain pusat pemindahan.
Sementara itu Wan Rosdy berkata, semua bantuan dan bekalan telah di hantar ke 159 pengkalan hadapan di seluruh Pahang.
Manakala 856 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau kini telah bersedia untuk menerima penduduk terjejas banjir.
Malah jelasnya, kerajaan negeri juga sudah menambahbaik kualiti pembungkusan makanan segera kepada mangsa-mangsa banjir agar dapat dimasak dan dimakan dengan mudah pada peringkat awal perpindahan ke PPS atau PPT apabila dilanda musibah banjir.
“Bukan sahaja pemindahan tetap, malah daripada segi makanan pun kita sudah ubah, makna apabila mereka sampai ke sini kita bagi satu pek makanan yang siap dalam dua ke tiga minit yang agak lazat,” katanya.