Banjir: Malaysia Belum Upaya Beri Ramalan Tepat Walau Labur RM500 Juta
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 26 Disember 2022 – “Malaysia belum berupaya memberi ramalan bencana yang tepat, jitu dan bersasar walaupun kita sudah melabur sebanyak RM500 juta untuk Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS,” kata Pengarah Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Khamarrul Azahari Razak.
Ujarnya dalam sebuah portal tempatan, ketika ini sistem amaran awal bencana (EWS) di Malaysia masih di tahap tidak mencukupi manakala peta bahaya risiko banjir pula tidak diperluaskan ke peringkat komuniti.
“Peta ada dibuat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi terlalu teknikal untuk difahami oleh masyarakat biasa dan sukar diterjemahkan kepada tindakan peringkat komuniti.”
Menurut Dr Khamarrul, jika kedua-dua tindakan tersebut diambil serius dengan sistem EWS lebih baik dan menyeluruh, Malaysia boleh mengurangkan sehingga separuh daripada nilai kerugian ekonomi yang dicatatkan berjumlah RM36 bilion setiap tahun.
Malah, jumlah mangsa bencana pula boleh dikurangkan pada tahap lebih sedikit berbanding dengan apa yang sedang berlaku membabitkan lebih 70,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).
Justeru, beliau mencadangkan agar sistem EWS dan peta bahaya risiko banjir ditambah baik selain langkah mitigasi berstruktur melalui projek rancangan tebatan banjir (RTB) perlu diteruskan secara bersasar, berkala dan berimpak (memberi impak positif kepada komuniti rentan).
“Peta bahaya risiko banjir itu akan paparkan kawasan mana yang akan dinaiki air dan impaknya. Proses pemetaan dan penilaian dibuat mengikut lembangan sungai berdasarkan skala permodelan yang berbeza dan input teknikal yang unik.”
“Ia perlu ditambah baik berikutan perubahan iklim, guna tanah, geomorfologi dan aktiviti-aktiviti anthropogenik setempat. Dengan adanya peta bahaya, kerapuhan dan risiko banjir, bolehlah perancangan guna tanah yang lebih sensitif kepada risiko banjir mendatang dapat dibuat dengan lebih baik,” katanya.
Manakala EWS negara perlu ditambah baik yang mana setiap amaran dibuat berdasarkan data ramalan yang dicerap dan dimodel pada peringkat lokal, dan dibuat hebahan maklumat berdasarkan impak yang dikira serta menggunakan pelbagai platform hebahan DIGITAL agar tindakan dibuat dengan pantas dan bersasar.
Maka, “Sudah tiba masanya Kerajaan membuat pelaburan lebih tinggi dalam membangunkan sistem EWS lebih pintar, komprehensif dan memberi impak bersasar bagi mengurangkan kerugian ekonomi negara dan kesan lebih buruk kepada kehidupan penduduk dan kelangsungan perniagaan,” katanya lagi.