Banjir Kilat Diramalkan Melanda 7 Negeri Hari Ini
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 November 2022 – ‘Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat’ telah dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan Dan Saliran, Malaysia yang melibatkan tujuh negeri di seluruh Malaysia sehingga 6 petang ini.
Negeri-negeri yang diramalkan berlaku banjir kilat adalah melibatkan Kedah (Kuala Muda), Negeri Sembilan (Jelebu, Port Dickson, Rembau dan Seremban), serta Selangor (Gombak, Petaling, Kuala Selangor, Sepang).
Manakala negeri Melaka melibatkan kawasan Alor Gajah dan Jasin.
Di Johor pula, kawasan-kawasan dijangkakan dilanda banjir kilat adalah di Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak.
Seterusnya banjir kilat juga diramalkan berlaku di WP Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak.
Laporan tersebut dikeluarkan berdasarkan maklumat ramalan hujan dari model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).
Justeru, semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko diminta berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat dalam tempoh tersebut.
“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicinfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.”