Banjir Kilat: 20 Maut, 3 Ribu Kediaman Musnah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KABUL, 22 Ogos 2022 – Pejabat Gabenor Wilayah memaklumkan dalam satu kenyataan, 20 orang mangsa telah terkorban dan lebih 3,000 kediaman musnah dalam banjir kilat yang berlaku di wilayah Logar, timur Afghanistan berpunca dari hujan lebat berterusan, lapor media tempatan.
Kenyataan sama memberitahu, bencana itu bukan sahaja memusnahkan berpuluh terusan serta lebih kurang 2,000 hektar tanah pertanian malah, kira-kira 2,000 ternakan turut dilaporkan terbunuh dalam banjir kilat tersebut.
Puluhan rakyat Afghanistan maut setiap tahun akibat banjir dan hujan lebat terutama di kawasan luar bandar, di mana pembinaan rumah yang tidak kukuh berisiko untuk runtuh. Kini, pihak berkuasa wilayah memaklumkan bahawa pasukan keselamatan dan pertubuhan kebajikan sedang memindahkan mangsa ke kawasan yang lebih selamat selepas rumah mangsa musnah.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan, Bilal Karimi menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan dengan berkata, “Kami dengan segera meminta masyarakat antarabangsa untuk berganding bahu dengan rakyat Afghanistan pada masa genting ini dan berusaha membantu mangsa yang memerlukan.”
Jabatan Meteorologi negara itu juga meramalkan bahawa akan lebih kerap berlakunya hujan lebat serta banjir merentasi 21 wilayah dalam tempoh beberapa hari akan datang.