BANJIR: Jalan-Jalan Utama Terengganu Ditutup
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA TERENGGANU, 19 Disember 2022 – Beberapa lebuhraya di Terengganu ditutup kepada lalu lintas akibat bencana banjir.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan laluan Bukit Besi ke Ajil (KM 393.4 arah Utara) ditutup berikutan untuk kegunaan kenderaan ekoran kejadian cerun runtuh malam tadi.
Kejadian cerun runtuh tersebut berlaku di lokasi sama berlaku limpahan air banjir lumpur pada pagi semalam.
Susulan itu, laluan Dungun ke Ajil dan laluan masuk Plaza Tol Dungun dan Bukit Besi ditutup.
“Berikutan laluan terhalang di KM393.4 di antara laluan Bukit Besi ke Ajil, pemandu dari Kuala Lumpur yang menghala ke Kuala Terengganu dinasihatkan keluar di Plaza Tol Dungun (Mandatori Exit).”
“Walau bagaimanapun, perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa.”
“Untuk pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun, anda dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.”
Dalam pada itu, LLM turut memaklumkan dua lagi laluan ditutup kerana banjir iaitu di Plaza Tol Kerteh (laluan T129) dan laluan Ajil ke Kuala Terengganu (KM 415.0 arah Utara).
“Jalan susur masuk dan keluar selepas Plaza Tol Kerteh DITUTUP.”
Namun begitu, laluan Ajil ke Kuala Terengganu (KM 415.0 arah Utara) masih boleh digunakan di lorong kanan kerana hanya lorong kiri dan lorong kecemasan sahaja ditutup.
“Hati-hati memandu ketika cuaca hujan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran. Sila rancang perjalanan anda.”