‘Banjir Hitam’ Tenggelami Kubur
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BAGAN DATUK, 01 Disember 2022 – Tanah perkuburan Islam Selekoh, Rungkup ditenggelami air yang kini bertukar kepada warna hitam akibat terlalu lama bertakung selepas lebih sebulan banjir termenung tidak menunjukkan tanda surut.
Menurut laporan media, semua kubur di situ tenggelam akibat takungan air yang tidak dapat mengalir keluar disebabkan longkang dan parit yang tersumbat.
Menurut seorang penduduk, Ismail Harun, 63, longkang dan parit di kawasan itu semak, dipenuhi sampah, dahan kayu, batang pisang, buah kelapa menyebabkan air tidak dapat dialirkan keluar ke Sungai Tiang.
“Saya sedih melihat keadaan kubur di tanah perkuburan ini yang ditenggelami air apatah lagi kubur ibu dan bapa di sini.”
“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika sistem perparitan dijaga dengan baik. Sistem saliran di sini perlu dibaik pulih kerana longkang dan parit yang ada sudah cetek dan terlalu sempit menyebabkan air tidak dapat bergerak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merasakan bahawa perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan terlalu lama kerana mustahil pihak berkenaan tidak sedar.
“Tanah perkuburan ini terletak di tepi jalan, saya rasa pihak yang berkenaan sudah tentu nampak perkara ini, sepatutnya mereka segera mengambil tindakan,” katanya.