Tempatan

Banjir Baling Dipercayai Berpunca Tandak Takungan Pecah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 07 Julai 2022 – Banjir yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini tular di media sosial dipercayai berpunca daripada beberapa kolam takungan air masyarakat (tandak takungan) yang pecah dan ia sekaligus menyumbang kepada pembentukan kepala air.

Dalam tragedi itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa penduduk kampung telah melakukan tinjauan ke tandak takungan di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapar dan Kampung Carok Rotan Mas.

“Situasi yang berlaku itu tidak terakam dalam gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi Selasa,” ujar Datuk Seri Muhammad Sanusi yang percaya bencana ini berlaku disebabkan oleh tandak takungan tersebut hilang keupayaan untuk menakung air yang banyak dan laju.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat tandak takungan air masyarakat ke kampung lain juga turut mengalami situasi yang sama.

“Takungan pecah seumpama ini akan menyumbang kepada pembentukan kepala air, seterusnya melimpah ke kawasan kaki gunung,” kata beliau dalam satu sidang media yang juga memberitahu bahawa projek tanaman durian musang king di puncak Gunung Inas tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlaku kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang.

Portal berita Sinar Harian melaporkan kenyataan Menteri Besar Kedah yang berkata, imej yang dirakam dari helikopter (JBPM) pada awalnya mendapati tandak yang dibina penduduk dan pengusaha tanaman durian tidak pecah namun dipenuhi pasir.

Kemungkinan aliran air yang membentuk kepala air adalah air yang terkumpul di alur sepanjang Gunung Inas sebelum mengalir serentak ke bawah.

Penduduk Kampung Iboi sebelum ini mendakwa kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan projek tanaman durian seluas kira-kira 1,200 hektar yang diusahakan di puncak Gunung Inas sejak 2018.

Lebih 17 buah kampung terjejas oleh banjir lumpur akibat berlakunya kepala air di puncak Gunung Inas selepas hujan lebat kira-kira tiga jam pada petang Isnin lalu.

Leave a Reply

Back to top button