Banjir: 102 Kes Penyakit Berjangkit Direkodkan
KOTA BHARU, 05 Disember 2023 – Sebanyak 102 kes penyakit berjangkit direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh dua minggu banjir melanda negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kes-kes ini direkodkan bermula 23 November lalu sehingga 3 Disember dengan melibatkan 69 kes di Bachok, diikuti Pasir Mas (24 kes), Kota Bharu (5 kes) dan Tanah Merah (4 kes).
Jelasnya, penyakit berjangkit yang dikesan ialah gastroenteritis akut (AGE) (cirit-birit); jangkitan pernafasan akut (ARI) (batuk, selsema dan sesak nafas); konjunktivitis (sakit mata); jangkitan kulit dan demam.
“Kes kumulatif bagi saluran pernafasan adalah sebanyak 68 kes, penyakit kulit pula 27 kes, masing-masing satu kes mata dan cirit birit selain lain-lain simptom dengan lima kes.”
“Berdasarkan kajian, penyakit berjangkit mungkin berpunca daripada makanan atau air,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kamera Badan Kepada 30 Pegawai Penguat Kuasa JKNK di Wisma Persekutuan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, kesemua pesakit mengalami jangkitan ringan dan sudah mendapatkan rawatan di klinik-klinik kekal atau bergerak yang beroperasi di setiap PPS.
“Setakat ini, kes penyakit berjangkit di PPS masih terkawal. Semua mangsa banjir yang berada di PPS terutamanya yang bergejala tidak sihat digalakkan supaya memakai pelitup muka,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan berpuas hati dengan pematuhan standard penyediaan makanan pihak itu kepada mangsa-mangsa banjir di PPS.
“Saya nasihatkan kepada mereka, supaya menggunakan dan meminum air yang bersih bagi mengelak jangkitan penyakit.”
“Makanan juga perlu pastikan tidak rosak dan sentiasa amalkan lihat, hidu serta rasa sebelum makan,” kata beliau.
Selain itu, saringan COVID-19 turut dijalankan bagi mangsa-mangsa yang menunjukkan gejala dan setakat ini tiada kes pandemik itu berlaku di PPS.