Bangun Institusi Islam, Pahang Bina Kompleks Mahkamah Syariah Baharu Di Temerloh
KUANTAN, 07 Ogos 2024 – Kerajaan Negeri Pahang bakal membina kompleks mahkamah syariah baharu bernilai RM20 juta di Temerloh, memetik laporan.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ia adalah bagi menggantikan bangunan sedia ada yang terletak di Jalan Tok Muda Awang Ngah.
Jelas beliau, pembinaan kompleks itu adalah sebagai tanda bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius dalam membangunkan institusi Islam di Pahang.
Kerajaan Negeri Pahang juga katanya telah selesai membina dua buah kompleks mahkamah syariah daerah yang baru bagi daerah Bera dan Maran dengan kos masing-masing sebanyak 9 juta, manakala Mahkamah Syariah Tinggi selaku mercu tanda Pahang dibina di Indera Mahkota dengan kos RM45 juta.
Berkata lanjut, mahkamah syariah merupakah salah satu institusi Islam Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa diberi perhatian serius yang mana Kerajaan Negeri Pahang turut berjaya menaik taraf pejabat dan pengurusannya.
Kenyataan beliau itu adalah sewaktu berucap merasmikan Wacana Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia Çelik Peranan Mahkamah Syariah’di Dewan Auditorium Tuanku Canselor UniPSAS.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mewujudkan 14 Rang Undang-Undang sebagai punca kuasa dalam menguatkuasakan setiap isu.