Tempatan

Banduan Parol Beri Kelegaan Kekangan Tenaga Kerja Restoran

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 16 Ogos 2022 – “Mereka tidak bermasalah sama sekali. Saya berasa lega menjadi sebahagian daripada program parol penjara kerana mereka membantu menangani kekangan tenaga kerja,” kata seorang pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim.

Beliau yang telah mempunyai enam pekerja parol ketika ini mengatakan bahawa pekerja-pekerja itu rajin bekerja dan beliau sendiri tidak menyesali tindakannya yang menerima pekerja parol pada dua tahun lalu.

Kata beliau, pekerja parol melaksanakan tugas mereka dengan serius dan melakukannya dengan baik serta ingin mendapatkan peluang kedua.

“Saya berasa bangga kerana mampu memberi mereka peluang itu,” katanya.

Pekerja parol itu dibayar gaji minimum RM1,500 dan bekerja selama lapan jam sehari serta disediakan asrama yang hanya mengambil beberapa minit dengan berjalan kaki ke restoran

Sementara itu, pemilik Restoran Banana Leaf, Ananda Bahwan Datuk V. Harikhrishnan turut berkongsi sentimen yang sama apabila beliau turut berasa terharu apabila lima bekas parol datang ke restorannya untuk meminta kerja dan beliau menerima mereka bekerja tanpa ragu-ragu.

Malah, restorannya telah menerima 100 orang parol sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat ini, beliau mempunyai sepuluh orang pekerja parol yang ditempatkan di cawangannya di Pulau Pinang di mana semuanya mendapat gaji dan faedah yang sama seperti yang lain.

“Parol itu datang dari pelbagai latar belakang dan kaum.”

“Semua komited dengan tugas mereka dan mahu mengubah kehidupan mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, beliau memberi perhatian lebih kepada pekerja parol ini malah banyak masa diluangkan untuk mengajar mereka.

Bagi pemantauan pekerja, pegawai parol akan menelefon setiap hari untuk memeriksa mereka, kata Harikrishnan.

“Kadangkala, pegawai parol akan membuat pemeriksaan mengejut di restoran kami dan datang tanpa pengetahuan,” katanya.

Eksperimen itu merupakan satu langkah percubaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pemilik restoran sejak penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021 lalu.

Apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan, banyak restoran nasi kandar terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja sehinggakan ada di antaranya tidak dapat beroperasi langsung berikutan pekerja asing telah pulang ke negara asal mereka.

Baru-baru ini, portal berita tempatan melaporkan bahawa pekebun masih teragak-agak dengan cadangan untuk mengambil bekas banduan sebagai pekerja biarpun mereka sedang bergelut dengan masalah kekurangan tenaga buruh malah masih mengharapkan khidmat daripada pekerja asing.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: