Baling Banjir Lagi, 50 Rumah Terjejas
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BALING, 02 Disember 2022 – Hujan lebat selama lebih dari dua jam menyebabkan Baling, Kedah sekali lagi dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan 50 buah rumah semalam.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Left (PA), Mohd Faizol Ab Aziz, bencana itu berlaku susulan hujan lebat yang lama sehingga menyebabkan air sungai berdekatan melimpah ke kawasan penempatan yang berhampiran dengan tebing sungai.
“Penduduk yang terjejas membabitkan lapan keluarga di Kampung Padang Empang, Kampung Iboi (lapan), Kampung Hangus (enam), Kampung Bok Bak (lima), Kampung Dusun (lapan), Kampung Charok Kapas (empat) dan 11 keluarga di Kampung Pak Bong,” katanya.
Walaupun bacaan air semakin surut, namun pihaknya yang berada di lokasi akan terus memantau dari semasa ke semasa kerana paras sungai dalam keadaan berjaga-jaga.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkongsi, banjir itu merupakan kejadian kali ke-11 bagi penduduk di kampung tersebut dan ia dilihat seakan tidak berkesudahan.
“Masalah yang sama masih berulang menyebabkan penduduk sudah letih dan trauma apabila kerap berlaku banjir… Saya berharap sangat pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu dengan secepat mungkin bagi membantu penduduk kampung.”
“Pasir yang dilonggokkan di tepi tebing sungai juga banyak yang runtuh malah terdapat sisa-sisa balak hanyut dan tersangkut pada titi di Kampung Padang Empang yang mana esok kena minta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk alihkan,” katanya.
Pada Julai lalu, kejadian banjir Baling yang tular sebelum ini telah menyaksikan tragedi menyayat hati apabila dua daripada tiga beranak yang hilang sebelum ini ditemui maut dalam keadaan berpelukan.
Mayat ditemui oleh anggota bomba di bawah timbunan batang pokok berhampiran Sungai Iboi, kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka.
Tidak berakhir di situ, pada bulan September pula Baling sekali lagi dilanda banjir sehingga melibatkan 27 buah keluarga membabitkan 120 mangsa dari Kampung Padang Empang, Kupang apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter.