Bak Kut Teh: Versi Ayam Tetap Mengelirukan – Prof Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – Nama bak kut teh walaupun untuk versi ayam masih tetap mengelirukan, kata Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dalam sebuah portal tempatan.
“Bak kut teh, asalnya sejenis sup Cina menggunakan tulang babi sebagai nama kepada makanan itu yang akhir-akhir ini wujud dalam beberapa versi halal hendaklah dibahaskan secara amat serius. Ini kerana nama asalnya masih mempunyai pengertian tidak halal walaupun setelah ditambah perkataan ayam, iaitu bak kut teh ayam dan sebagainya setelah menggunakan bahan halal.”
Jelas beliau, penamaan dalam bentuk asalnya, lagi-lagi yang tidak ada penambahan apa-apa jua perkataan selepasnya, iaitu hanya bak kut teh walaupun untuk versi ayam, ia bukan sahaja sangat mengelirukan, ia juga amat tidak patut sebegitu caranya.
BACA JUGA: Letak Garis Panduan Tegas, Elak Percampuran Lelaki Perempuan – Presiden PEMBINA
BACA JUGA: Cuaca Panas: 64 Jemaah Haji Malaysia Terima Rawatan Jangkitan Paru-Paru
“Penghujahan bahawa bak adalah perkataan bahasa Cina Hokkien yang merujuk kepada apa-apa jua daging secara umum, digunakan dalam perbahasan ini. Justeru, sudah memadai dengan nama asalnya tanpa perlu ditambahkan apa-apa perkataan lain sebagai pemberitahuan bahawa ia kini halal. Dalam hal ini, ia tidak benar kerana dalam budaya Cina Hokkien, bak secara dominan dan khususnya adalah daging babi.”
“Dengan ini, untuk daging lain, ia hendaklah dinyatakan dengan menggunakan nama haiwan berkenaan.”
Kata Profesor Emeritus Datuk Dr Teo yang juga felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) itu, kita tidak boleh sesekali mahu meneruskan penggunaan nama asalnya atas nama kepelbagaian.
Tegasnya, dalam isu mengangkat sesuatu menjadi warisan negara, imej Malaysia sebagai negara Islam atau penduduk majoriti dan dominannya ialah Muslim perlulah diutamakan.
Malah, status negara sebagai bertuan etnik Melayu semenjak azali lagi dan Islam selaku anutan mereka haruslah diambil kira secara serius.
“Kita tidak boleh sesekali mahu meneruskan penggunaan nama asalnya atas nama kepelbagaian, iaitu Malaysia negara majmuk yang sifatnya itu harus diangkat pada setiap perkara. Sehubungan ini, ia tidak boleh selalunya begitu atas beberapa kekangan. Antaranya imej Malaysia sebagai negara Islam atau penduduk majoriti dan dominannya ialah Muslim. Ini harus bukan sahaja diutamakan, juga dijelmakan secara nasional mahupun internasional pada setiap masa.”
Oleh itu, tegas Profesor Emeritus Datuk Dr Teo, apa-apa yang wujud pada ranah domestik dan komuniti itu lebih-lebih yang tidak halal dan tidak selari dengan Dasar Kebudayaan Negara, tidak boleh sama sekali wujud apatah lagi sengaja mahu diangkat dalam ranah kebangsaan dan antarabangsa.
“Sehubungan ini, ia tidak boleh sama sekali mewakili Malaysia untuk kehidupan nasionalnya oleh semua etnisiti dan wilayah, lebih-lebih untuk ditonjolkan sebagai identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyatnya.”