Tempatan

Bahasa Teks Sahih Perlembagaan, Bahasa Melayu Terpinggir Di Negara Sendiri – Profesor Madya Dr Khairil Azmin Datuk Mokhtar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 08 Disember 2021 – Sehingga hari ini, masih ramai yang tidak mengetahui teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris, ujar Profesor Madya Dr Khairil Azmin Datuk Mokhtar.

Masyarakat menganggap bahawa teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan adalah dalam Bahasa Melayu kerana menurut Perkara 152, Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu.

“Amat malang sekali tanggapan ini adalah salah,” kata beliau.

Menurut Pensyarah Undang-Undang, Perlembagaan dan Hak Asasi Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, terdapat beberapa sebab yang ketara mengapa Bahasa Melayu masih terpinggir di negara sendiri.

Pertama, perbincangan berkaitan dengan isu-isu undang-undang Perlembagaan negara lebih banyak dibuat dalam Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu.

“Akta Bahasa Kebangsaan 1963 menyatakan bahawa teks sahih segala rang undang-undang dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Akta Parlimen dan segala perundangan kecil Kerajaan Persekutuan, Enakmen dan perundangan kecil semua Kerajaan Negeri, dan Ordinan yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah teks Bahasa Melayu, namun begitu ianya tidak memberi kesan yang bermakna dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu.”

Kedua, walaupun Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu, namun tiada satu pun jurnal yang membuat laporan kes-kes sivil mahkamah atasan secara komprehensif dalam Bahasa Melayu. Semua yang ada sekarang hanya dalam Bahasa Inggeris.

“Malayan Law Journal (MLJ), Current Law Journal (CLJ) dan jurnal-jurnal lain yang melaporkan kes-kes di mahkamah Sivil semuanya dalam Bahasa Inggeris.”

“Walaupun terdapat beberapa jurnal undang-undang dalam Bahasa Melayu tetapi jurnal-jurnal ini hanya memberikan tumpuan pada artikel-artikel sahaja. Jika ada pun memuat laporan kes, ianya hanyalah kes-kes yang terpilih dan amat terhad,” kata beliau.

Menurut Dr Khairil Azmin lagi, hampir keseluruhan bahan–bahan bacaan dan rujukan termasuk teks perundangan diterbitkan dalam Bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi jika bahan rujukan tersebut datang dari luar negara.

“Walhal, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa, selepas merdeka, prosiding dalam Bahasa Inggeris di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hanya boleh digunakan selama tempoh sepuluh tahun.”

Oleh itu, sepatutnya sekarang, semua mahkamah sudah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang menyatakan bahawa “segala prosiding (melainkan keterangan yang diberi oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan atau dalam Bahasa Inggeris atau sebahagiannya dalam Bahasa Kebangsaan dan sebahagiannya dalam Bahasa Inggeris.”

Tetapi disebabkan pengecualian dalam undang-undang yang sama yang membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris apabila beberapa syarat yang mudah telah dipenuhi, maka penggunaan Bahasa Inggeris telah digunakan dengan begitu meluas sekali hingga menggugat penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan khususnya di mahkamah atasan.

Disebabkan oleh perkara-perkara yang dinyatakan, maka penggunaan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Inggeris menjadi satu kelaziman yang sukar untuk diubah di kalangan pengamal undang-undang.

Persoalan terakhir, mengapa kerajaan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan bahawa teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan ialah teks Bahasa Kebangsaan, Dr Khairil menjawab, jawapannya perlulah datang daripada kerajaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: