Bahasa Melayu Tenat – Profesor Sarjit Singh
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 Mei 2022 – Bahasa Melayu kini berada dalam keadaan tenat berikutan kerajaan lebih menumpukan kepada penarafan dan pengantarabangsaan di peringkat universiti selain diambil alih oleh bahasa Inggeris, kata Profesor Antropologi Sosial, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Sarjit Singh.
Katanya, menurut pengalamannya yang mengajar selama 22 tahun di universiti tempatan, sesi kuliah menggunakan bahasa pengantar Inggeris sepenuhnya.
“Lebih 20 tahun saya mengajar dalam bahasa Inggeris dan tidak ada kesempatan untuk gunakan Bahasa Melayu disebabkan ramai pelajar (dalam kuliah) adalah dari luar negara.”
BACA: Malaysia Mungkin Akan Senasib Ukraine – Anifah Aman
BACA: Rusia Bakal Serang Ukraine; Seluruh Dunia Cabut Lari Kecuali Rakyat Malaysia
BACA: Dunia Bakal Kebuluran Harga Barang Melambung
“Satu lagi cabaran, tidak banyak sarjana yang menulis dalam Bahasa Melayu, jadi bagaimana hendak membangunkan kearifan tempatan jika ahli akademik sendiri tidak peduli mengenainya,” ujarnya.
Tambahnya, kemegahan Bahasa Melayu di mata dunia pada suatu masa dahulu akan pupus perlahan-lahan sekiranya ia tidak diberi perhatian.
Masa depan Bahasa Melayu turut akan terancam dan lenyap sekiranya universiti awam (UA) terus memperlekehkan dan menolak penggunaannya yang seharusnya universiti menjadi tempat pertama untuk memajukan bahasa ibunda ini.
“Kita tidak mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti di negara sendiri, tetapi pada masa sama, Perdana Menteri berjuang untuk mengangkatnya di persada antarabangsa. Pada saya, ini satu kontradiksi dan cabaran besar yang perlu ditangani,” katanya.
Beliau berkata sedemikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pelestarian Kearifan Setempat: Peranan dan Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu’ pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelmarin.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar DBP mengambil tindakan tegas dengan melakukan audit secara agresif di UA berikutan keadaan yang kian kritikal ini.
Bukan itu sahaja, katanya usaha mengangkat Bahasa Melayu turut boleh dilaksanakan melalui penerjemahannya kepada dialek tempatan di setiap negeri di Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan DBP yang dari dulu ‘menginggeriskan’ bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Banyak perkataan Bahasa Melayu asli tidak diangkat kembali yang sekaligus merencatkan proses melestarikan kearifan setempat.”
“Saya cadangkan, bagi keluaran Kamus Dewan akan datang, beri perhatian kepada dialek tempatan, misalnya dalam bahasa Iban, Semai dan Kadazan untuk diangkat dalam kamus, bukan mengginggeriskan (perkataan itu),” tambahnya lagi.