Bahasa Melayu & Penjawat Awam: Sarawak, Sila Terus Gunakan Bahasa Inggeris
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUCHING, 09 Jun 2022 – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa penjawat awam di negeri itu boleh terus menggunakan Bahasa Inggeris.
“Saya harap jangan ini jadi polemik. Sarawak, mempunyai pendirian sendiri…sila terus gunakan bahasa Inggeris. ‘Sik kenak penalty’ (tidak akan dihukum kerana menggunakan bahasa Inggeris),” ujarnya.
Kata beliau, pendirian ini adalah mengikut Perlembagaan Sarawak yang mana kedua-dua bahasa boleh digunakan dalam urusan rasmi.
“Penjawat awam Sarawak, anda boleh menggunakan bahasa Inggeris. Penjawat awam Persekutuan, saya tidak tahu kerana tuan kamu berbeza.”
Mengulas lanjut, Tan Sri Abang Johari menegaskan bahawa seseorang perlu menguasai Bahasa Inggeris untuk memperoleh teknologi dan pengetahuan terkini.
Sama ada anda suka atau tidak, untuk memperoleh teknologi dan pengetahuan terkini, anda mesti menguasai bahasa Inggeris dengan baik untuk memahami apa yang berlaku di seluruh dunia.”
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan tersebut.
Ia selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diperkasa bagi membolehkan aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan usaha pemartabatan bahasa Melayu dikaji dan diteliti untuk dilaksanakan.
Menurut Teraju Baiduri NAJM, Puan Azlinda Baroni pula, persoalan mengenai penentangan terhadap Bahasa Melayu ini tidak timbul langsung jika semua orang di semua peringkat lapisan masyarakat dan status faham dan hormat kepada kedudukan Bahasa Melayu itu berada di dalam fabrik kemasyarakatan negara kita dan di dalam perundangan negara.
“Tidak faham dan tidak hormat sejarah kenegaraan Malaysia itu maka wujudlah penentangan itu,” tegas beliau seperti dilaporkan Samudera.my.