Bahasa Indonesia Lebih Layak Dari Bahasa Melayu, Menteri Indonesia Tolak Cadangan Malaysia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 07 April 2022 – Seorang Menteri Indonesia telah menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN kerana bahasa Indonesia lebih mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan mungkin akan menjadi bahasa pengantara di peringkat ASEAN.
Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim menolak cadangan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan penggunaannya dalam mesyuarat rasmi antara kedua-dua negara sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia minggu lalu.
Menurutnya, ‘sebagai menteri yang bertanggungjawab’, sudah tentu beliau menolak cadangan itu.
Katanya lagi, hanya kerana Malaysia negara jiran yang telah mencadangkan mengenai perkara itu, ia perlu dikaji dan dibahaskan dengan lebih lanjut.
Bukan itu sahaja, beliau mengatakan bahawa bahasa Indonesia lebih layak untuk diangkat ke kedudukan itu berdasarkan sejarah dan nilai linguistiknya.
Namun, kenyataan itu dikatakan bercanggah dengan kenyataan yang disampaikan oleh Ismail Sabri dan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyatakan persetujuan mereka untuk memperkasakan bahasa Melayu di rantau ini.
Berikutan itu, beliau menyeru semua rakyatnya agar mempertahankan bahasa Indonesia kerana bahasa itu merupakan bahasa yang paling kerap digunakan di Asia Tenggara malah telah tersebar ke 47 buah negara di seluruh dunia.
Mengulas lanjut, bahasa Indonesia mempunyai nilai kekuatan dari aspek sejarah, linguistik dan tatabahasa ujarnya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rantau ini sebagai usaha bagi memartabatkan bahasa ibunda ini ke peringkat antarabangsa.