Tempatan

BSD Dari India Berbeza, Mahkamah Perlu Junjung Kedaulatan Watan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 September 2022 – Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan perlu menjunjung kedaulatan watan dalam mengendalikan sesuatu kes perundangan supaya tidak timbul persepsi negatif terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, peruntukan Perlembagaan hendaklah dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh diambil satu persatu kerana ada peruntukan itu saling berkait satu sama lain dan perlu dibuat perbandingan antara Doktrin Struktur Asas (BSD) dari India dengan struktur asas yang diberikan takrifan oleh Mahkamah Persekutuan.

Justeru, penerimaan BSD dari luar tidak boleh diimport secara bebas oleh badan kehakiman negara ini kerana prinsip menjunjung kedaulatan watan itu termaktub dalam Perkara 181(1) dan mempunyai tadbir urus dalam penerimaan prinsip undang-undang am, kaedah ekuiti dan statut dari luar berlandaskan Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972).

“BSD tidak boleh dianggap sebagai undang-undang ciptaan hakim mahkamah, tetapi struktur asas berkenaan hanyalah kaedah pentafsiran undang-undang Perlembagaan yang tertakluk pada prinsip kedaulatan dan keadaan watan yang diperuntukkan oleh Akta Undang-Undang Sivil tadi,” ujar Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi.

Mengulas lebih lanjut, beliau juga berkata peruntukan Perlembagaan 121(1A) yang perlu dibaca bersama dengan kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Persekutuan oleh Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 128 dan 4, tetapi telah ditafsir secara bebas tanpa rujukan kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memelihara keluhuran Perlembagaan, dilihat punca kepada penentangan terhadap BSD secara rambang.

Sehubungan itu, usaha pemerkasaan undang-undang syariah dan prinsip perundangan Islam tidak wajar disempitkan dengan isu bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Tindakan menolak BSD sekali gus kewujudan struktur asas dalam Perlembagaan Persekutuan secara bulat-bulat bukanlah jawapan kepada keputusan kes yang melibatkan pertikaian bidang kuasa antara Mahkamah Kehakiman Persekutuan dengan Mahkamah Syariah kerana elemen struktur asas jika disandarkan pada prinsip kedaulatan dan keadaan watan tempatan akan lebih memberi keadilan kepada orang Islam dan warganegara Malaysia secara keseluruhannya kerana setiap pihak perlu menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: