Tempatan

B40 Terpinggir, Rumah Kos Rendah Disambar Pelabur, Disewakan Kepada PATI

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 04 Ogos 2022 – Menurut pendedahan sebuah portal tempatan, pelabur hartanah dipercayai telah membeli rumah kos rendah yang disubsidi Kerajaan dengan harga yang tinggi, sekali gus menaikkan harga rumah kos rendah ini menyebabkan golongan B40 tidak mampu membeli rumah-rumah tersebut.

Memetik hasil dapatan Pengurus Besar PropertyGuru, Joe Thor, sekurang-kurangnya 30% pembeli di pasaran sub-jualan rumah kos rendah dan sederhana ialah pelabur.

Perbuatan ini tidak berhenti di situ sahaja. Menurut Joe Thor, pelabur-pelabur ini kemudiannya menyewakan rumah-rumah ini kepada pekerja warga asing dan juga pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas Joe Thor lagi, ‘gula’ yang menjadi penarik kepada pelabur-pelabur ini adalah keuntungan tinggi kerana harga rumah kos rendah tersebut yang berkemungkinan tinggi melonjak hampir 220% ke 230% dari tarikh pembelian susulan subsidi Kerajaan.

Menurut pendedahan sama, kebanyakan rumah kos rendah dan sederhana di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah pun ‘disambar’ pelabur.

Shankaran Nambiar, pengkaji di Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menyatakan bahawa rumah bersubsidi ini lebih memanfaatkan golongan kaya berbanding golongan yang memerlukan.

Situasi ini turut diakui oleh pengguna media sosial, di mana seorang pengguna mendedahkan bahawa polemik ini sudah pun melanda hampir sedekad lamanya di negara ini.

“Yup. Ia dah berlaku semenjak hampir sedekad, sekurang-kurangnya setakat orang yang saya tahu. Urusniaga dalaman. Ada juga sesetengah yang menawarkan saya, tapi saya berpegang pada prinsip, rumah-rumah ini adalah untuk B40 menetap, saya tak patut buat duit dari orang miskin,” jelas beliau.

Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati dan menggesa supaya pihak Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah ini.

“‘Pelabur’? Apa yang Kerajaan dan agensi kawal selia sedang buat tentang ini?” soal seorang pengguna.

“Dasar dan undang-undang tentang sewaan perlu diperkenalkan. Sekarang pasaran sewa umpama wild west, ‘syurga’ buat pelabur hartanah spekulatif,” saran pengguna lain pula.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: