Azan Selamatkan Aku Dari Terjun Landasan LRT
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 07 Julai 2022 – “Waktu ni aku dah nekad. Whatsapp suicide untuk Mama Ayah dah tulis, gambar pun dah amik. Aku dah nekad untuk terjun ke landasan LRT.”
“Tren akan tiba dalam masa 6 minit dan aku hanya ada selama tu untuk hidup.”
Begitulah luahan detik pengalaman Muhammad Faris Nazrin, seorang aktivis yang kini memperjuangkan kesedaran sosial tentang realiti kesihatan mental, yang amat memahami penderitaan mereka yang sedang diuji dengan masalah mental.
Beliau kemudian terselamat daripada hampir membunuh diri selepas terdengar laungan azan dan panggilan telefon daripada seorang rakan yang bertanyakan khabar.
“Nak tau apa yang menyelamatkan aku?”
“Ada kawan call tanya khabar. Kemudian dia mengakhiri perbualan tu dengan berkata, “I care for you”.”
“Dengar laungan azan. Bila dengar “Allahuakbar” selama 4 kali, aku terus rasa tersentak.”
Sejurus sahaja beliau mendengar azan itu, beliau terus berlari ke arah masjid. Beliau kemudian berdoa sepenuh hati dalam keadaan menangis teresak-esak memohon kekuatan daripada Allah untuk melawan penyakit mental yang dihadapi oleh beliau.
“Betapa lemahnya diri aku waktu tu dan Allah berikan aku harapan dan kekuatan untuk hidup hingga ke hari ni.”
Kejadian tersebut mengubah hala tuju hidup beliau, menjadikan beliau seorang advokasi kesedaran kesihatan mental bagi “menyedarkan masyarakat betapa ‘real‘ dan memeritkan penyakit mental ini.”
Beliau menasihatkan kepada para pesakit mental dan mereka yang mempunyai tanggungjawab dalam isu ini supaya berkata baik kepada sesama sendiri.
“Kerana kata-kata anda mampu membuatkan orang lain berasa bahagia dengan anda.”
Beliau juga berkata, “Bagi selalu mengamalkan kata-kata yang baik untuk membantu orang yang struggle, aku doakan syurga untuk korang. Sebab apa yang menyelamatkan aku pada malam tu ialah kata-kata yang menenangkan.”