Azan Awal, Masyarakat Bergantung Azan Masjid Jame’ Badlishah Diminta Qada’ Puasa
ALOR SETAR, 14 April 2023 – Masyarakat yang berbuka puasa berpandukan azan Maghrib di Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan, Jerai pada 30 Mac lalu diminta untuk mengqada’kan puasa susulan azan yang dilaungkan awal dua minit.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah telah pun bermesyuarat dan memutuskan, yang pertama berkenaan dengan azan itu sendiri. Azan tujuannya ialah untuk memberi makluman kepada masyarakat masuknya solat dan di samping mengajak masyarakat untuk mendirikan solat.”
“Apabila azan itu berlaku pada waktu maghrib yang sudah tentu pada waktu yang sama menunjukkan masuknya waktu berbuka puasa.”
“Jadi masyarakat yang terlibat pada waktu itu dengan berpandukan daripada laungan azan tersebut sahaja, maka kedudukan puasa mereka pada hari itu, jawatankuasa memutuskan puasa mereka adalah terbatal dan wajib diqada’kan,” kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dalam satu video yang dimuatnaik di laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman.
BACA JUGA: Artifak Purba ‘Penang Women’ Bakal Kembali Ke Malaysia
BACA JUGA: Kilang Peluru Tercanggih Bakal Dibina Di Kuala Pilah
BACA JUGA: Rapid Rail Lanjut Waktu Operasi Sehingga Jam 1:30 Pagi Sabtu Ini
Kata beliau, biarpun puasa terbatal namun masyarakat yang terlibat masih memperoleh pahala ibadah daripada Allah S.W.T.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah telah memutuskan kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian pegawai masjid yang melaungkan azan itu.
“Kesilapan yang berlaku kepada muazzin didapati kurang teliti, kurang halusi dan kita merujuk kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W bahawa muazin itu, seorang yang diberi kepercayaan sebab itu dia haruslah betul-betul teliti dan halusi sebelum dia melaungkan azan,”
“Jadi pada pandangan Jabatan Mufti kesilapan berlaku kepada muazzin itu atau mana-mana muazzin lain dikirakan sebagai kesilapan akibat kecuaian diri sendiri,” katanya.
8 April lalu, pihak pentadbir Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.