Ayam Cepat Letih, Tiada Selera Makan & Minum Banyak Air Punca Kilang Tutup Operasi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2022 – “Kalau tanya saya, kita semua (penternak) menghadapi masalah sama. Cuaca panas dan kemarau teruk membuatkan ayam kurang makan, tidak ada selera, ayam cepat letih dan banyak minum air.”
Ini merupakan jawapan Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng dalam isu penutupan sementara kilang pengeluar ayam di Melaka.
Menurut memo yang dikeluarkan kilang tersebut, mereka terpaksa menutup sementara operasi di kilang pengeluaran ayam disebabkan tumbesaran ayam yang tidak mencapai berat matang.
Tambah memo itu lagi, antara faktor-faktornya adalah kerana cuaca panas dan kekurangan pekerja.
Ujar Datuk Jeffrey Ng seperti dalam Berita Harian, masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh kilang tersebut, malah semua penternak di negara ini turut mengalaminya.
Portal-portal media melaporkan, negara kini mula mengalami krisis kekurangan bekalan ayam. Ini menyebabkan para peniaga terpaksa mencatu jumlah ayam untuk dijual kepada pelanggan.
Sinar Harian melaporkan, di Pulau Pinang, ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan Isnin kerana masalah tersebut.
Di Kuantan, para peniaga ayam Pasar Besar Kuantan terpaksa menutup operasi hampir seminggu di berikutan bekalan ayam terhad, lapor Malaysia Gazette.
Perkara yang sama juga berlaku di Bachok, Kelantan dan Batu Gajah, Perak. Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat mendapati, ada peniaga yang kehabisan ayam seawal jam 9 pagi kerana tidak mendapat bekalan mencukupi.
Selain itu, peniaga ayam di tepi jalan di daerah itu juga terpaksa menutup premis seawal jam 9 pagi selepas bekalan ayam habis.
Utusan Malaysia pula melaporkan, jualan ayam segar di pasar awam Batu Gajah, Peral licin dalam tempoh dua jam sebaik sahaja pasar dibuka kerana heboh tiada bekalan.
Ini menyebabkan ada pelanggan pulang dengan tangan kosong kerana kebanyakan jualan semalam hanya untuk yang membuat tempahan awal.
Ayam segar habis dalam masa dua jam berikutan bekalan tidak mencukupi untuk menampung permintaan pembeli, kata Muhammad Taufiq Meor Saradi, seorang peniaga ayam.
Tinjaun mendapati, pembeli-pembeli mula menyuarakan kerunsingan mereka selepas stok ayam tidak mencukupi.
“Semua kedai habis ayam. Satay pun perut, kambing ada. Ayam tak ada,” kata Suhaila.
Wan Mustapha pula meluahkan, “Dari semalam lagi semua kedai tak ada ayam. Port Dickson pun tak ada ayam.”
“Hari ni dapat beli ayam itu pun last stok…harga dia RM9.90kg…berapa korang dapat kat tempat masing-masing sekarang…Dulu orang bising jual kek mahal-mahal…tapi kek Secret Recipe penuh juga kek-kek yang company besar penuh juga even mahal…Sekarang jaga kata harga kek…harga barang basah pun dah naik juga…bertabah kita…dah kena terima hakikat kenaikan harga sekarang…Yang meniaga lagi kesian berapa ringgitlah nak jual ya supaya jualan laku keras…kita berserah pada Allah…minta Allah mencukupi dari segala aspej…minta rezeki kita sentiasa dimurahkan supaya dapat membantu dan dibantu…” kata seorang pengguna Facebook, Ieka Syafiqa Bakers.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, permintaan tinggi terhadap ayam ketika musim perayaan yang berlaku serentak dengan peningkatan harga makanan ternakan itu, dikesan antara punca bekalan bahan mentah berkenaan terjejas di Selangor.
Berikutan itu, Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti dan membincangkan isu bekalan ayam di negeri itu hari ini.