Awesome TV Tempelak Menteri, Buat Kenyataan Tanpa Kajian Mendalam
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2023 – Awesome TV menempelak Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil susulan mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian lanjut, mendakwa stesen televisyen berkenaan enggan melunaskan hutang tertunggak.
Pengurusan Awesome TV berkata, selaku menteri, Fahmi tidak seharusnya masuk campur dalam hal komersial stesen televisyen dengan pembekal, selain perlu membuat kajian mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan.
Jelasnya, “Pihak yang bertanggungjawab untuk produksi rancangan televisyen dan juga hal-hal pembayaran kepada syarikat-syarikat produksi adalah syarikat perantaraan atau ejen yang dilantik oleh pihak stesen televisyen, dan bukannya stesen televisyen.”
BACA JUGA: LRT Bertembung: Prasarana Dakwa Mangsa Cuai
BACA JUGA: APMM Temui 100 Peluru Aktif Dalam Kapal Pengangkut Dari China
BACA JUGA: Dakwaan Tuntutan Pewaris Sulu Ancam Keselamatan Negara, Polis Buka Siasatan
Fahmi sewajarnya menjalankan kajian lanjut terutamanya dengan Awesome TV sekali gus tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif dan tidak adil kepada syarikat itu, tambahnya lagi.
Sebelum ini, Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan menggesa Awesome TV menyelesaikan hutang tertunggak dan kes saman, jika ada, dengan segera yang membabitkan pihak penerbit iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd.
Fahmi mendakwa sedemikian namun stesen televisyen itu menafikan dan menegaskan bahawa mereka tidak berurusan langsung dengan MyCreative.
“Maka, tidak wajar bagi menteri atau pihak My Creative membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen.”
“Selaku stesen televisyen yang berpegang teguh kepada prinsip integriti, Awesome TV telah menjalankan operasi syarikat dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan imej Awesome TV dengan tidak adil,” katanya.
Awesome TV juga berharap media dan masyarakat memahami sepenuhnya konteks sebenar bahkan tidak membuat penilaian yang mencetus fitnah.
“Kami tetap berkomitmen untuk memberikan kandungan berkualiti tinggi dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada industri penyiaran,” ujarnya.