Tempatan

AWAS! Tawar Gaji Lumayan, Modus Operandi Scammer Pemerdagangan Manusia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

PETALING JAYA, 09 November 2022 – “Tawaran gaji yang lumayan dan gambaran yang baik bagi pekerjaan tersebut menarik lagi minat mereka untuk menerima tawaran tersebut. Antara pekerjaan ditawarkan termasuklah sebagai penterjemah, pekerja restoran dan ada yang dijanjikan bekerja di kasino.”

Demikian pendedahan dari Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim akan pengalaman dialami mangsa sindiket pemerdagangan manusia seperti yang dilaporkan sebuah portal tempatan.

Ujarnya, kebanyakan mangsa yang berkongsi pengalaman mengakui terperangkap dalam agenda sindiket tersebut setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan dan ajakan kenalan.

Tan, salah seorang mangsa sindiket kejam ini mendedahkan, beliau berminat memohon pekerjaan melalui iklan yang didapati di laman sesawang mencari pekerjaan kerana tidak meletakkan terlalu banyak syarat.

Pada waktu itu, beliau memohon jawatan melalui laman mencari kerja itu yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja.

“Syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut berpangkalan di Pulau Pinang. Sejurus temuduga yang dijalankan secara dalam talian, saya telah diterima bekerja di Kemboja dan tidak mengesyaki apa-apa pun.”

“Setibanya di Kemboja, pada awalnya saya diberi tunjuk ajar serta kursus bagi pekerjaan yang dilakukan. Kos datang ke Kemboja semua ditanggung majikan. Namun, setelah sampai di tempat kerja, kebanyakan rakan sekerja lain berkongsi pengalaman mengatakan lokasi kerja tidaklah seindah dengan apa yang digambarkan atau dikongsi kenalan.”

“Bagi menghalang mereka melarikan diri, mangsa diugut dengan kekerasan dan mereka bekerja semata-mata memberi manfaat kepada ketua sindiket,” ujar Tan.

Menurut Datuk Hishamuddin, rantau Asia Tenggara merupakan pangkalan besar bagi aktiviti sindiket pemerdagangan manusia.

Sebelum ini, samudera.my melaporkan kenyataan dari Datuk Hishamuddin yang menyatakan bahawa sindiket pemerdagangan manusia ini adalah jenayah yang terlalu kompleks kerana ia melibatkan pemerdagangan manusia yang melibatkan pembunuhan, yang melibatkan jual orang, dalam sindiket pelacuran melibatkan pencabulan wanita, melibatkan eksploitasi terhadap manusia dan perhambaan moden.

“Semua ini, merupakan jenayah kompleks terancang yang bukan sahaja satu skim penipuan kerja yang hanya dilihat sebagai jenayah komersial tetapi ia merupakan satu jenayah terancang yang sangat kejam melibatkan sindiket antarabangsa.”

Setakat ini, dianggarkan seramai 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

Mangsa-mangsa yang berjaya diselamatkan selepas kehilangan mereka dilaporkan ahli keluarga atau daripada mangsa sendiri.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: