AWAS! Ponteng Puasa, ‘Geng Plastik Hitam’ Boleh Dikenakan Penjara, Denda
KUALA LUMPUR, 22 Mac 2023 – Hukuman setimpal boleh dikenakan kepada orang Islam sama ada pihak penjual atau mereka yang makan di tempat terbuka pada waktu siang hari bulan Ramadan termasuklah hukuman penjara dan denda.
Menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bulan Ramadan yang bakal tiba ini menjadi sebuah penantian bagi seluruh umat Islam untuk menunaikan ibadah kepada Allah serta menjadi manusia yang lebih baik.
BACA JUGA: Peluk Islam Dengan Kebenaran Bapa, Undang-Undang Negeri Perlis Selari Perlembagaan
BACA JUGA: Syed Saddiq Jangan Tunjuk Liberal Sangat – Ketua Penerangan PERKASA
BACA JUGA: CelcomDigi Gabung, Milik Khazanah, Tapi Peranan Melayu Dikecilkan – Presiden PERKASA
Namun begitu, kesucian bulan Ramadan ini mula tercemar dengan hadirnya ‘Geng Plastik Hitam’ bersamaan dengan istilah ‘ponteng puasa’ yang bukan sahaja tidak menunaikan tanggungjawab berpuasa, tetapi juga tanpa segan silu membeli makanan di siang hari.
“Bagi kes ini, hukuman setimpal mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) boleh dikenakan kepada orang Islam sama pihak penjual atau mereka yang makan di tempat terbuka pada waktu siang hari bulan Ramadan.”
Dalam kenyataan itu, pihak JAWI turut menyertakan sebuah infografik yang memaparkan hukuman yang boleh dikenakan kepada ‘Geng Plastik Hitam’ ini.
Memetik kepada infografik itu, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Seksyen 15 (Tidak Menghormati Ramadan) memperuntukkan bahawa, mana-mana orang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan yang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta dalam waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam yang didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“Semoga Ramadan kali ini, semua umat Islam dapat menghormati Ramadan dan tidak mengulangi perbuatan ponteng puasa supaya dapat menjadi Muslim yang baik,” kata hantaran itu lagi.