AWAS! Amil Palsu, JAWI Minta Masyarakat Waspada
KUALA LUMPUR, 19 April 2023 – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan ‘amil palsu’ dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat sesuatu yang mencurigakan.
“Bulan Ramadan sudah hampir ke penghujungnya, buat yang masih belum sempat menunaikan zakat jangan risau masih sempat lagi untuk membayar zakat, tetapi perlu diingatkan jangan mudah terpedaya dengan ‘amil palsu’ jika ternampak sesuatu yang mencurigakan segeralah laporkan kepada pihak yang berkuasa,” memetik kepada kenyataan JAWI di laman Facebook rasminya.
Dalam kenyataan yang sama, JAWI turut mengatakan bahawa ‘amil palsu’ boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) (Akta 559) di bawah Seksyen 33 (Pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa).
BACA JUGA: Fenomena Gerhana Matahari Separa Khamis Ini, JAIS Seru Tunaikan Solat Sunat Gerhana
BACA JUGA: Kadar Bayaran Saman Trafik RM50 Sahaja Bermula Jumaat Ini
BACA JUGA: Penyelenggaraan Lebuhraya Tidak Kritikal Dihentikan Serta Merta Hingga 7 Mei Ini
Seksyen itu menyatakan bahawa “Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberi kuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan.”
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 60 Akta Pentadbiran.”
Hujung Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut menasihatkan umat Islam di negeri berkenaan agar tidak terpedaya menunaikan zakat fitrah kepada amil tidak bertauliah.
Hal ini kerana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, pihaknya pernah menerima aduan berhubung kewujudan amil palsu pada bulan Ramadan tahun lalu.