Antarabangsa

Awal Muharam: Kiswah Kaabah Diganti Malam Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RIYADH, 29 Julai 2022 – Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan Kiswah Kaabah akan diganti pada malam ini, selepas solat Isyak waktu tempatan sebagai simbolik kepada pembuka tirai Tahun Baru Islam 1444 Hijrah pada Sabtu.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, Kiswah diganti pada pagi 9 Zulhijjah sewaktu musim haji.

Menurut Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Sheikh Dr Abdul Rahman Abdulaziz Al-Sudais, perubahan upacara kali ini dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan jabatan untuk mengagihkan sambutan di Dua Masjid Suci dan juga sebagai simbolik untuk menyambut ketibaan jemaah Umrah dari dalam dan luar Saudi.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 166 kakitangan jabatan akan terlibat dalam acara itu sesuai dengan tradisi tahunan.

Kiswah, kain hitam bersulam benang emas yang menutupi Kaabah di Kota Suci Mekah, Arab Saudi itu diperbuat daripada 670 kilogram (kg) sutera berkualiti tinggi, 120 kg benang emas dan 100 kg benang perak oleh 200 pekerja mahir.

Dalam pada itu juga, jabatan memaklumkan tiada cerapan anak bulan Muharram pada petang Khamis dan kiraan bulan Zulhijjah digenapkan 30 hari (30 Jun – 29 Julai) hari ini (Jumaat), sekali gus menjadikan 1 Muharam (Awal Muharam) ditetapkan pada Sabtu sebagai permulaan kalendar Islam di Arab Saudi.

Leave a Reply

Back to top button