“Awak Tangkap Saya, Awak Ada Makanan Di Penjara?”
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHANGHAI, 13 April 2022 – Jutaan penduduk China, terutamanya di Shanghai dilanda kebuluran selepas negara itu berdepan dengan kekurangan makanan susulan arahan perintah berkurung dari kerajaan China bagi mengekang penularan koronavirus BA2.
Keadaan dilihat semakin memburuk selepas pihak berkuasa di sana juga mengakui, mereka juga tidak tahu dari mana lagi mereka boleh mendapatkan bekalan makanan.
Ahli epidemiologi, Dr Eric Feigi-Ding mendedahkan di laman Twitternya satu rakaman telefon yang tular antara penduduk dengan pihak polis Shanghai.
Penduduk Shanghai: “Saya loloskan diri dari sekatan sekarang, awak cepat-cepat tahan saya, awak ada makanan ke dalam penjara?”
Polis: “Kami tahan awak dan hantar semula ke komuniti. Kami pun tak tahu di mana untuk beli makanan di luar sana.”
Tambah Dr Eric, pemanggil juga mengadu rumahnya langsung tidak mempunyai sedikit pun makanan kecuali air paip.
“Polis juga tidak mampu berbuat apa-apa,” kata pengasas World Health Network itu.
Dalam bebenang sama, Dr Eric berkongsikan rakaman video menunjukkan penduduk di sebuah apartment menjerit tidak henti dengan kapsyen, “Bab seterusnya dalam Shanghai Hunger Games”.
Kapsyen video itu menjelaskan keadaan penduduk yang saling menjerit selepas 7 hari bandar itu di bawah arahan perintah berkurung.
“Residen di #Shanghai menjerit dari apartment bertingkat tinggi selepas 7 hari perintah berkurung dikenakan di bandar itu. Suara latar di sebalik video gusar akan timbul masalah besar. (Dalam dialek Shanghai –pencerita menjangkakan orang tidak akan dapat bertahan lama –dia membayangkan tragedi).”
Residents in #Shanghai screaming from high rise apartments after 7 straight days of the city lockdown. The narrator worries that there will be major problems. (in Shanghainese dialect—he predicts people can’t hold out much longer—he implies tragedy).pic.twitter.com/jsQt6IdQNh
— Eric Feigl-Ding (@DrEricDing) April 10, 2022
Sekurang-kurangnya 23 bandar di China, dengan jumlah penduduk lebih dari 193 juta diarahkan perintah berkurung sepenuhnya atau sebahagiannya selepas negara itu dilanda koronavirus BA2.
Perintah berkurung di China adalah lebih ketat berbanding di negara-negara lain –Penduduk boleh dilarang sepenuhnya dari meninggalkan rumah atau kebenaran kepada penduduk untuk keluar membeli makanan dihadkan kepada satu lawatan setiap beberapa hari.
Portal Foreign Policy melaporkan, Shanghai kini dalam keadaan bencana. Rak pasar raya kosong, penghantaran makanan oleh kerajaan tidak mencukupi; mereka yang mahu memesan makanan atas talian perlu bangun di awal pagi dan berharap kepada tuah: menjadi salah seorang pelanggan yang berjaya memesan makanan sebelum pesanan ditutup.
Lebih mengecewakan, di saat penduduk Shanghai bergelut untuk meneruskan kehidupan dan menderita kelaparan, tanda pagar mengenai kekurangan makanan di Shanghai telah dipadamkan dari internet.
#Beli Barangan Runcit di Shanghai (#上海买菜) itu penting bagi tujuan emosi dan praktikal penduduk dalam waktu krisis: Ia membolehkan rakyat untuk menyuarakan rungutan dan keluhan mereka – dan berkongsikan tips bagaimana caranya untuk mendapatkan makanan dan menghebahkan kepada orang ramai individu yang memerlukan pertolongan.
Tidak dapat dipastikan pemadaman # di Weibo itu atas arahan kerajaan atau bukan. Namun, ramai penduduk percaya, ia dicetuskan oleh arahan yang dikeluarkan oleh badan pemerhati internet Shanghai.