Antarabangsa

Australia Tidak Lagi Mengiktiraf Barat Baitulmuqaddis Sebagai Ibu Negara Israel

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AUSTRALIA, 18 Oktober 2022 – Australia seolah-olah menarik balik keputusannya mengiktiraf Barat Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim haram aparteid Israel selepas mereka mengumumkan untuk memindahkan kedutaan ke bandar itu empat tahun lalu.

Lapor berita antarabangsa, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) telah memadam dua kenyataan di laman webnya beberapa hari lalu yang menunjukkan keputusan membatalkan secara senyap.

Kenyataan pertama berbunyi, “Selaras dengan dasar yang telah lama wujud ini, pada Disember 2018, Australia mengiktiraf Barat Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, pusat Knesset dan kawasan institusi kerajaan Israel.”

Manakala kenyataan kedua adalah, “Australia berharap untuk memindahkan kedutaannya ke Barat Baitulmuqaddis apabila praktikal, sebagai sokongan dan selepas status penyelesaian dua negara ditentukan.”

Pengiktirafan tersebut telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada 2018, selepas Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat ketika itu mula mengumumkan pengiktirafannya sendiri sekali gus menyeru negara lain untuk bertindak sedemikian.

Jurucakap DFAT berkata, kerajaan Australia menganggap status Baitulmuqaddis sebagai perkara yang perlu diselesaikan sebagai sebahagian daripada sebarang rundingan damai.

Pemadaman kenyataan itu dibuat dua bulan selepas kerajaan Honduras mengumumkan pertimbangannya untuk memindahkan kedutaan kembali ke Tel Aviv. Sebelum ini, Honduras menyertai AS dalam mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim haram aparteid Israel dan memindahkan kedutaannya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: