Australia Menyenaraikan Hamas Sebagai Kumpulan Pengganas
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CANBERRA, 21 Februari 2022 – Australia akan menyenaraikan keseluruhan pergerakan Islam Palestin, Hamas sebagai pengganas, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Karen Andrews pada 17 Februari dalam sidang media di Bangunan Parlimen Canberra.
Sebelum ini, Canberra hanya menyenaraikan sayap tentera Hamas iaitu Briged al-Qassam sebagai kumpulan pengganas tetapi arahan baharu ini merangkumi keseluruhan struktur pergerakan tersebut. Ini menjadikan Australia negara Barat yang terbaharu berbuat sedemikian.
Beliau berkata, “Tiada tempat untuk Hamas di bumi Australia, termasuklah segala ideologi yang dikeluarkan pergerakan itu.”
“Undang-undang kita bukan saja membanteras tindakan ganas dan pengganas, sebaliknya mereka yang merancang, membiaya dan melaksanakan tindakan berkenaan juga akan didakwa dan diadili,” tambahnya.
Penyenaraian itu bermakna sebarang pembiayaan atau sokongan kepada Hamas kini dilarang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett ‘menyambut baik’ keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘langkah baik untuk menentang keganasan’.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem pula berkata kepada Al Jazeera bahawa keputusan Australia ini berat sebelah terhadap Israel dan penyenaraian itu melanggar undang-undang antarabangsa yang melindungi rakyat Palestin untuk menentang Israel.
Tambah beliau, “Mereka yang sepatutnya disenaraikan sebagai pengganas ialah rejim Israel yang sengaja menyasarkan rakyat Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.”
Sejak 15 tahun lalu, Israel telah mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza apabila Hamas berjaya menguasai penempatan itu.
Tindakan Hamas dianggap pengganas oleh Barat walaupun pada hakikatnya mereka berikrar dan berusaha untuk membebaskan Baitulmuqaddis daripada kekejaman rejim Israel.
Amerika Syarikat sudah lama menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas, seterusnya diikuti United Kingdom. Manakala Malaysia, Turki, Switzerland, Rusia dan China antara negara yang tidak menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.