ATM Mobilisasi Jentera Bersesuaian Bantu Musibah Banjir Di Pantai Timur
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 Disember 2022 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan yang sedang dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi menyelesaikan masalah kelewatan dan kesulitan untuk menghantar bantuan serta bekalan kepada mangsa-mangsa banjir terutama yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Beberapa PPS mengalami kekurangan bekalan kerana kita mengalami kekurangan dari segi aset untuk logistik.”
“ATM ada aset yang boleh dimobilisasikan, namun ia berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir ialah di Terengganu, Kelantan dan Pahang,” katanya selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut.
Justeru itu beliau meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan agar bantuan daripada ATM dapat disalurkan dengan segera.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan melihat keperluan untuk menyegerakan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir.
“Oleh kerana berlaku kerosakan jalan dan ada jambatan yang putus, saya yakin kor Tentera Darat boleh membantu (infrastruktur) dan jawatankuasa bencana pusat akan koordinasikan bantuan daripada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara),” katanya.