Tempatan

Atas Nama Demokrasi – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Demokrasi ialah salah satu kaedah pemerintahan dalam sesebuah negara. Negara di dunia mempunyai pelbagai cara untuk diperintah. Malah demokrasi itu sendiri terdiri dari pelbagai jenis yang berbeza antara satu sama lain. Ada juga negara yang mengubahsuai kaedah demokrasi agar ia menjadi selari dengan norma lazim tempatan sesebuah negara.

Demokrasi ialah suatu cara membentuk Kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur Kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau Kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau Kerajaan yang demokratik.

Perkataan demokrasi berasal daripada bahasa Yunani yang memberi maksud “diperintah oleh rakyat”.

Di Malaysia sendiri, sistem demokrasi tidak dijelas dengan terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun semangatnya diamalkan di dalam negara. Perkataan demokrasi itupun tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ramai yang keliru adakah demokrasi itu merupakan matlamat yang hendak dicapai ataupun ianya sekadar merupakan alat untuk mentadbir negara. Jika ia merupakan matlamat segala upaya hendaklah dilakukan ke arah mencapai matlamat tersebut namun jika ianya sekadar alat, alat tersebut boleh diperbaiki tatkala kita mendapati ianya sudah usang, tidak efektif ataupun sudah rosak. Namun membuat sesuatu tindakan bertentangan dengan demokrasi merupakan suatu kesalahan di Malaysia.

Ramai yang mungkin beranggapan setelah tamat PRU tugas pengundipun berakhir. Pengundi hanya berperanan sepanjang pesta demokrasi semasa kempen dan pengundian sahaja. Tanggapan ini tidak betul kerana rentetan daripada PRU tersebut terdapat pelbagai kesan yang berlaku.

Atas nama demokrasi kita lihat hari ini pelbagai perkara baik dan buruk berlaku di dalam negara tak kiralah sama ada kerajaan sekarang atau terdahulu. Persoalannya adakah rakyat hanya perlu menunggu PRU untuk menzahirkan sokongan atau bantahan mereka. Adakah demokrasi hanya berlaku semasa pengundian umum sahaja dan tidak dalam isu-isu spesifik.

Setelah wakil rakyat dipilih, adakah semua keputusan diletakkan di pundak wakil rakyat mereka sahaja untuk mengundi di dewan legislatif? Sangat nadir kita mendengar wakil-wakil rakyat berunding dengan pengundi mereka bagaimana untuk berbahas atau mengundi di Parlimen. Apa yang sering kita dengar ialah wakil rakyat mengundi di Parlimen mengikut arahan parti masing-masing. Oleh yang demikian usaha merakyatkan demokrasi ini masih lagi jauh panggang dari api.

Atas nama demokrasi sekarang kita lihat norma lazim kita sudah mula mahu diubah kerana mendakwa memiliki suara terbanyak di Parlimen. Isu-isu yang suatu ketika dahulu tiada kompromi seperti LGBT, komunis, liberal, hak asasi terlampau dan banyak lagi mahu dinormalisasi kini seperti yang berlaku sebelum PRU-15. Kita tidak tahu lagi apa akan berlaku pasca PRU-15. Negara mungkin bergerak lebih ke kiri menanggalkan pakaian budaya, menyemai nilai asing dan mementingkan hak diri berbanding hak awam.

Atas nama demokrasi juga kita merasai saban hari rakyat mula resah dan khuatir. Apa lagi yang akan dipersoal dari sehari ke sehari? Dulu kita sudah sama-sama memupuk perpaduan dan berganding bahu memajukan negara tetapi kini setiap hari kita mencari salah orang lain. Kudrat yang ada tidak lagi ditumpukan kepada kemajuan negara tetapi objektifnya hanyalah untuk mengekalkan kuasa.

Sesungguhnya pemimpin yang dipilih itu bukanlah diberikan suatu tasyrif (kemuliaan) tetapi merupakan suatu taklif (kebertanggungjawaban). Hakikat inilah perlu disedari oleh pemimpin kita.

Berbalik kepada sistem demokrasi ini, pada pandangan saya demokrasi bukanlah suatu yang dilakukan hanya di dalam pilihanraya sahaja. Ia sebenarnya jauh menjangkau aspek-aspek yang lain. Sebab itulah saya kurang bersetuju apabila semua perkara perlu di bawa ke Parlimen untuk dibentang dan dibahaskan. Ini adalah disebabkan ahli-ahli Parlimen yang dipilih semasa pilihanraya acapkali tidak mewakili pengundinya di dalam sesuatu isu. Pilihanraya bukan memberikan persetujuan umum kepada semua isu kepada wakil rakyat. Tidak ada mekanisme juga pengundi sesebuah konstituensi memecat wakil rakyat yang mereka sudah pilih tersebut melainkan setelah tamat tempoh.

Pasca PRU-15, sudah sampai masanya melihat semula demokrasi dalam konteks pilihanraya umum ini. Ahli legislatif yang dipilih hendaklah benar-benar membawa aspirasi rakyat merasai denyut nadi pengundi dan memperjuangkannya selepas berunding dengan mereka. Sistem syura dan hisbah yang diamalkan Islam mungkin boleh berperanan di dalam memperbaiki kelompangan yang ada di dalam amalan demokrasi ini. Suara rakyat adalah suara keramat, suara ini tidak boleh disekat dengan dibayangi oleh sistem demokrasi.

Demokrasi itu sendiri tidaklah boleh mengatasi undang-undang, oleh yang demikian ia perlu dipimpin oleh badan yang berotoriti dan dihormati. Badan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Majlis Raja-Raja. Sudah sampai masanya kita melihat kembali kesesuaian sistem demokrasi ini untuk diterapkan selaras dengan norma lazim tempatan dan budaya kita. Sudah banyak kita melihat undang-undang dan peraturan yang dibuat majoriti ahli legislatif yang mendakwa mendapat mandat rakyat majoriti tidak selari dengan kemahuan masyarakat umum. Namun masyarakat umum tidak mempunyai wadah untuk mengatakan sebaliknya.

Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: