Tempatan

‘Aset Tua’ Jaga Kedaulatan Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LUMUT, 04 September 2022 – 75 peratus kapal perang dan kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan sudah lanjut usia.

Menurut Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis, semakan mendapati 75 peratus daripada 44 kapal milik pasukan tersebut ketika ini sudah berusia lebih 40 tahun dengan ada antaranya melebihi 50 tahun

“Contohnya, kapal peronda laju (Fast Attack Craft) yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun, dalam erti kata kapal TLDM sudah lebih usia,” kata beliau ketika menyambut kepulangan Kapal Diraja (KD) Lekir yang menyertai Eksesais Lingkaran Pasifik atau ‘Rim of The Pacific’ (RIMPAC) 2022 di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut pada Sabtu lalu.

Jelasnya, kegagalan memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa segera melakukan ‘proses kitar semula’ atau program memanjangkan hayat kapal sedia ada.

Oleh itu, menurut beliau, TLDM ketika ini memerlukan kapal baharu dengan bilangan yang mencukupi kerana kuantiti sedia bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga berusia.

Beliau turut mendedahkan, aset-aset milik TLDM sudah jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Justeru itu, baginya program pembinaan enam buah kapal kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) perlu diteruskan kerana TLDM memerlukan kapal-kapal perang itu untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.

“Tanpa aset-aset kombat ini (enam buah kapal LCS), kita tidak akan berkemampuan berbuat apa-apa apabila berlakunya konflik maritim. Saya bersikap berterus-terang berkenaan perkara ini, tidak ada apa yang mahu disembunyikan.”

“Namun, sekiranya TLDM diberi keupayaan yang diperlukan, kita yakin akan kemampuan kita untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, baik di waktu aman mahupun konflik,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: