Arca Buddha Ditemukan Di Bukit Choras
YAN, 27 Jun 2024 – Sebuah arca Buddha berjaya ditemukan oleh pasukan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Dr. Nasha bin Rodziadi Khaw di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.
Menurut kenyataan Jabatan Warisan Negara (JWN), penyelidikan arkeologi fasa lll, merupakan satu kerjasama antara JWN dan USM yang berlangsung dari 21 April 2024 sehingga 21 Mei 2024 turut berjaya menemui beberapa artifak lain yang sangat signifikan dan penting bagi Malaysia.
“Penyelidikan arkeologi fasa lll telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik.
“Di samping itu, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok-blok laterit yang ditemui.”
JWN berkata, arca bersaiz manusia itu diperbuat daripada stucco, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir yang ditemui di dinding utara candi tersebut.
“Berbeza dengan arca yang ditemui ketika Fasa l dan Fasa ll, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah dan pakaian dapat dilihat dengan jelas. Selain itu turut ditemui sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.”
Sehubungan itu, JWN menyatakan bahawa penemuan di tapak tersebut membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategic Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.
Malah, penyelidikan tersebut turut menegaskan komitmen yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN dan USM dalam menghasilkan data-data baharu bagi memperkayakan sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.