Tempatan

Arak Nama Melayu: Risau Ada Agenda Tersembunyi – Mufti Wilayah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2021 – Tindakan menggunapakai nama ‘Timah’ sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam, tegas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Hj Abdullah dalam Bayyan Linnas.

Pada 15 Oktober 2021, Syarikat Winepak Corporation dalam kenyataan rasminya menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era pelombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu.

Tetapi menurut Dr Luqman, perbuatan menggunapakai nama ‘Timah’ pada masa yang sama juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.

Dr Luqman seterusnya berkata, meskipun sebahagian pihak akan mengemukakan pelbagai alasan untuk membenarkan jenama arak ini, namun syarak menegaskan bahawa segala perkara yang mempunyai unsur kemudaratan hendaklah dicegah semampu yang boleh, lebih-lebih lagi umat Islam merupakan penduduk majoriti di negara ini.

“Sebarang isu sensitiviti agama dan kaum haruslah dijauhkan kerana ia boleh menjurus berlakunya kemudaratan, sedangkan sebarang kemudaratan mestilah ditegah apatah lagi yang melibatkan perkara yang sensitif.”

Tambah beliau lagi, tindakan memilih dan menggunakan gambar Kapten Speedy yang memakai penutup kepala juga, dilihat seolah-olah menjadi tanda dan isyarat bahawa produk ini keluaran Melayu Muslim sedangkan arak merupakan satu perkara yang sangat ditegah dalam Islam.

“Bagi umat Islam pengharaman arak adalah adalah satu prinsip yang jelas dan apa-apa yang ada kaitan dengannya adalah wajib dijauhi,” tegas Dr Luqman.

Oleh itu pihak berwajib dan semua pihak perlu memberi perhatian serius dan melakukan langkah proaktif dalam isu ini kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: