Tempatan

Arahan Tutup Kilang Arak: MICCI Dakwa Arak Keperluan Strategik

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 03 Jun 2021 – “Bukankah sepatutnya (minuman beralkohol) turut dikategorikan sebagai keperluan yang strategik walau sudah dikelaskan sebagai minuman perlu “bersama dengan minuman bergula dan kafein lain (seperti minuman ringan dalam botol),” kata Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah.

Kenyataan tidak puas hati ini dikeluarkan selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kilang arak perlu ditutup, walau sebelum itu mereka dibenar meneruskan operasi.

Dakwa Cheah, sumber dana yang “sangat diperlukan” kerajaan untuk program Pemerkasa Plus yang baharu diumumkan dan pelbagai pakej bantuan lain datang dari kegiatan ekonomi industri Malaysia.

“Pengeluar arak Malaysia menyumbang sebanyak RM2.2 bilion duti.”

Bukan itu sahaja, rantaian bekalan industri ini juga turut mengekalkan 60,000 pekerjaan.

Bahkan, kata Cheah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) meletakkan sektor ini dalam senarai kerana “pentingnya sumbangan ekonomi industri kepada perbendaharaan negara dan kedudukannya dalam rantaian bekalan dunia”, walaupun industri semikonduktor pada mulanya tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Oleh itu, bagi Cheah, tidak sepatutnya wujud “diskriminasi dari segi definisi mahupun sentimen” oleh pihak berwajib ketika memutuskan sektor mana yang perlu dibenar beroperasi sepanjang pelaksanaan penutupan penuh.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini mengesahkan kilang arak dibenarkan beroperasi kerana berada di bawah sektor minuman yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

Semalam, Dato’ Sri Ismail Sabri menyatakan bahawa MKN memutuskan kilang arak perlu ditutup.

Ini kerana kilang arak tidak termasuk dalam senarai kilang-kilang yang mengeluarkan barang keperluan.

Walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas.

“Oleh yang demikian, kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas,” ujar Dato’ Sri Ismail Sabri.

“Sehubungan itu, MKN hari ini bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button