Arab Saudi Wajibkan Jemaah Umrah Sahkan Sijil Vaksinasi COVID-19
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
RIYADH, 21 April 2021 – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melalui jurucakapnya, Hisham Saeed mengumumkan bahawa, para jemaah umrah dari luar wajib mengesahkan sijil vaksinasi yang menunjukkan mereka sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 di negara masing-masing.
Ujar Hisham, status kesihatan jemaah dari luar akan dihubungkan menerusi aplikasi Tawakkalna.
“Di bawah aplikasi tersebut, bakal jemaah yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 perlu mengesahkan sijil vaksinasi mereka oleh pihak berkuasa di Mekah.”
“Selepas disahkan, pihak berkuasa akan menentukan tarikh serta masa untuk menunaikan umrah serta solat di Masjidilharam.”
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memaklumkan lima garis panduan yang perlu dipatuhi para jemaah untuk menunaikan umrah.
Antaranya termasuk semua jemaah perlu berada di Pusat Inaya enam jam sebelum menunaikan umrah, mengesahkan sijil vaksinasi, memakai gelang digital, mengesahkan data dan permit serta mengikut slot masa yang ditentukan.
Selain itu, jemaah luar perlu menjalani kuarantin selama tiga hari di hotel penginapan mereka di Mekah selepas tiba di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia dan China secara prinsip sepakat untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing.
Manakala dengan Australia pula, Malaysia akan memperhalusi cadangan mengiktiraf Sijil Vaksinasi masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara dua negara.