Arab Saudi Wajibkan Jemaah Dan Pekerja Kesihatan Ibadah Haji Ambil Vaksin COVID-19
RIYADH – Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah haji dan pekerja kesihatan yang terlibat dengan musim haji tahun ini untuk menerima vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatannya, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata, vaksin COVID-19 adalah wajib dan menjadi sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.
“Vaksin COVID-19 adalah wajib kepada sesiapa sahaja yang mahu menunaikan ibadah haji dan ia akan menjadi salah satu syarat utama haji.”
Bahkan, satu jawatankuasa vaksinasi juga akan ditubuhkan untuk musim haji dan umrah, yang mana mereka menetapkan penerimaan wajib vaksin COVID-19 untuk pekerja kesihatan yang terbabit.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly dalam satu sidang media pada Selasa memaklumkan, sesiapa yang menerima vaksin dan melepasi dua hingga tiga minggu selepas menyelesaikan vaksinasi tidak perlu dikuarantin apabila bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.
Justeru, Malaysia akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan semua bakal jemaah haji mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini.
“Jika suntikan Vaksin COVID-19 diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, kita kena ikut syarat terbabit. Jadi semua kena akur dan mereka yang terpilih untuk menunaikan haji nanti, perlu akur,” ujar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.
Malaysia sudah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu. Setakat ini, jumlah rakyat negara ini yang sudah pun mendaftarkan diri untuk terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin menghampiri angka 1.2 juta orang.
Orang ramai yang ingin mendaftar untuk pendaftaran vaksin COVID-19 hanya perlu mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, satu-satunya saluran rasmi kerajaan.
“Setakat ini, kita hanya mengguna MySejahtera yang diiktiraf dan dikenal pasti sebagai saluran rasmi kerajaan bagi pendaftaran untuk mendapatkan vaksin,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.