Antarabangsa

Api Bantahan Makin Marak Susulan Rumah Aktivis Islam Diroboh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NEW DELHI, 15 Jun 2022 – Tindakan pihak berkuasa India merobohkan rumah aktivis Islam di Uttar Pradesh mencetuskan lagi kekacauan yang mana semakin ramai mengambil bahagian dalam protes di ibu negara pada Isnin lalu.

“Kerajaan menganiaya orang Islam kerana mereka Islam,” kata Raniya Zulaikha dari New Delhi, kepada Arab News.

“Dengan menyasarkan orang Islam yang memprotes, kerajaan memberi mesej jelas dan lantang bahawa ia tidak akan meminta maaf untuk menyakiti sentimen masyarakat,” ujar Zulaikha, yang merupakan ahli kumpulan pelajar Pergerakan Persaudaraan.

Menurut Kulsum Talha, seorang aktivis sosial yang berpangkalan di ibu kota Uttar Pradesh, terdapat ketakutan dan kebimbangan dalam masyarakat Islam.

“Minoriti Islam berasa seolah-olah ditolak ke dinding. Ia kelihatan seperti dendam oleh kerajaan negeri.”

“Mereka kehilangan semua jenis harapan dalam pentadbiran dan agensi penguatkuasaan undang-undang.”

Pada Ahad lalu, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath telah mengeluarkan arahan untuk merobohkan rumah beberapa tokoh Islam termasuk rumah aktivis hak asasi Islam terkemuka Afreen Fatima yang didakwa terlibat dalam protes minggu lalu yang membantah penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut pegawai kerajaan, perobohan itu tidak menyasarkan agama tertentu tetapi hanya memusnahkan bangunan haram.

Namun, kenyataan itu disangkal oleh para pengritik yang berpendapat bahawa langkah sedemikian adalah sebahagian daripada percubaan untuk meminggirkan umat Islam, yang mewakili 14 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India.

“BJP menggunakan jentolak untuk menghukum orang Islam yang lantang, orang Islam yang bersuara untuk hak mereka, yang menentang keganasan ke atas mereka,” tegas Apoorvanand Jha, seorang profesor di Universiti Delhi.

Ravi Nair, aktivis hak asasi manusia yang berpangkalan di Delhi turut mengiakan hal tersebut dan menegaskan sejak 2014, umat Islam khususnya dan minoriti lain telah dilayan sebagai warga kelas kedua oleh kerajaan fundamentalis di India sekarang.

Berikutan isu perobohan rumah tokoh Islam, tanda pagar #StandWithAfreenFatima tular di Twitter.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: