Tempatan

Saman Fitnah: Peguam AMANAH Mohon Maaf Kepada Dr Kamarul

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 11 September 2021 – Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berjaya membersihkan namanya yang tercemar ekoran fitnah Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak dan Naib Ketua AMANAH Kawasan Tambun, Mohd Fitri Asmuni.

Mohd Fitri, yang juga seorang peguam dan anak kepada peguam Datuk Asmuni Awi, merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Ahli Jawatankuasa Kanun Nasional AMANAH dan Ahli Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Tatacara AMANAH.

Dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan pada 10 September semalam, Mohd Fitri telah bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf terhadap plaintif, Dr Kamarul.

Dr Kamarul yang diwakili peguam, Mohd Harris Mohan Abdullah telah mengemukakan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas fitnah dari dua artikel yang ditulis dan disiarkan oleh Mohd Fitri di dalam Facebooknya.

Dua artikel yang dipertikaikan tersebut bertajuk ‘Dr Kamarul Yusoff, Cybertrooper Bertaraf Doktor’ dan ‘Dr Kamarul Zaman Yusoff Kaki Putar Belit, Astora Jabat Masa Kini’ masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017 yang bersifat memfitnah Dr Kamarul.

Di dalam kenyataan permohonan maafnya hari ini, Mohd Fitri yang diwakili peguam, Noorazmir Zakaria, mengakui telah membuat kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa:

(i) Penulisan Dr Kamarul adalah penulisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah;

(ii) Dr Kamarul tidak mengikut etika penulisan ilmiah dalam membahaskan subjek yang diketengahkan;

(iii) Dr Kamarul hanyalah penulis Facebook yang menyamar sebagai pengkritik, cybertrooper bertaraf doktor;

(iv) Penulisan Dr Kamarul adalah sampah yang tidak mempunyai nilai akademik sekalipun beliau bergelar doktor;

(v) Dr Kamarul cuba membohongi dan mengelirukan pembaca dengan penulisan beliau; dan

(vi) Dr Kamarul adalah penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan beliau seperti di media sosial Facebook.

Selanjutnya, beliau berkata: “Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Dr Kamarul di atas penerbitan kedua-dua buah artikel tersebut yang telah mengguris hati beliau.”

“Saya juga menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.

“Kenyataan ini dibuat atas semangat persahabatan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan lagi kes ini di Mahkamah,” ujarnya di dalam kenyataan permohonan maaf di Facebook beliau itu.

Ketika dihubungi, Dr Kamarul mengesahkan perkara ini dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan moral yang akan menjadikan beliau lebih bersemangat di dalam menghadapi kes-kes saman fitnah lain yang beliau kemukakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peguam saya yang mengusahakan cadangan penyelesaian ini dan kepada Mohd Fitri yang bersetuju untuk membuat kenyataan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut.”

“Kes saman terhadap Mohd Fitri ini sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada kes-kes saman saya terhadap sekumpulan pemimpin DAP dan AMANAH serta dua buah portal media, iaitu Malaysiakini dan Malaysia Dateline.”

“Tumpuan sebenar saya adalah kepada kes-kes saman fitnah saya terhadap 8 Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim.”

“Kenyataan-kenyataan mereka, serta 2 Ahli Parlimen AMANAH yang turut saya saman, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, lebih besar impaknya kerana mereka merupakan nama-nama besar dalam politik Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Kamarul juga berkata, kes ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik, khususnya mereka yang dari golongan pemuda, supaya tidak bersuara mengikut rasa dan lebih berhemah di dalam berhujah.

“Golongan pemuda ini biasanya berdarah panas, tetapi masa sama mereka perlu memastikan hujah mereka rasional dan dipandu oleh fakta, dan tidak menggelar orang lain sesuka hati, bila sedar buat silap terus akui kesilapan dan mohon maaf,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: