Tempatan

“Apakah Rafidah Aziz Rasa Masyarakat Kita Mustahil Menguasai Banyak Bahasa?” – Pengerusi PEMBELA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 April 2022 – “Sejak bila memartabatkan bahasa kebangsaan bermakna secara automatiknya meminggirkan bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa?”

Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz yang mengkritik langkah kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

“Ya, isu penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan dalam kalangan masyarakat kita memang perlu dipandang serius. Tetapi janganlah campur adukkan isu sampai kamu pun jadi celaru dan akhirnya cakap merepek-repek,” ujarnya.

Aminuddin Yahaya berkata, Tan Sri Rafidah harus sedar bahawa Bahasa Melayu sudah mula mendapat tempat di pentas antarabangsa seperti di universiti-universiti di mana yang mengusahakannya adalah orang asing sendiri.

Menurut beliau, terdapat ramai orang asing lepasan universiti tempatan di Malaysia fasih berbahasa Melayu dan masih fasih walau sudah lama pulang ke negara masing-masing.

“Mereka boleh berbangga dan menghargainya, mengapa kita pula yang geli-geleman pula?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan adakah Tan Sri Rafidah merasakan mustahil untuk masyarakat menguasai beberapa bahasa secara serentak atau sebenarnya bekas Menteri Kabinet itu hanya menganggap bahasa kebangsaan sebagai lekeh sahaja.

“Pada saat masyarakat antarabangsa berlumba-lumba ingin perkenal dan promosikan bahasa serta budaya masing-masing, kita pula yang malu-malu.”

“Malah lagi teruk, yang sibuk berlumba-lumba siapa paling anglofil,” bidasnya.

Aminuddin turut mengajak semua pihak agar menyokong usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagaimana yang digerakkan oleh kerajaan.

“Sampai bila kita terus berjiwa kalah dan berasa lemah sebegini?”

“Semua pihak perlu sokong usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan mula sekarang, bila lagi? Fikir-fikirkan.”

Sebelum ini, Tan Sri Rafidah mengatakan usaha menguasai Bahasa Melayu adalah satu langkah yang mundur dan tidak membantu rakyat Malaysia untuk maju dalam dunia moden.

Leave a Reply

Back to top button