NGO

APAKAH PENGHINA ISLAM AKAN TERLEPAS LAGI? – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Segalanya bermula pada pagi 11 Jun 2021, apabila seorang pelanggan membuat pesanan dengan nama: Allah Ardilas Anak Allah Taala. Bagi umat Islam ini suatu penghinaan, namun tidak kurang juga yang bukan Islam beranggapan ia perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan tambah pula pelaku adalah seorang “Orang Kurang Upaya” (OKU).

2. Pelanggan telah ditegur oleh seorang penghantar (rider) supaya mohon maaf dan jangan ulangi penghinaan begitu tetapi dibantah dan dibidas sinis oleh pelanggan dengan berkata: “Aku Raja kamu”* dan ayat ini bagai menuang petrol di atas api lalu rider memberi amaran akan bertindak jika berdegil. Pada sebelah petang, sekumpulan rider telah mengheret pelanggan tersebut ke balai, semasa dalam perjalanan berlaku sedikit pergelutan kerana pelanggan tersebut melawan. Agak menghairankan apabila kumpulan rider yang mengheret pelanggan untuk buat laporan polis turut sama ditahan reman bersama penghina agama itu.

3. Kecoh dengan penahanan 5 rider ini, satu Tabung Kutipan Kilat dilancarkan dan disebarkan melalui poster atas nama Tabung Bela Rider Pertahan Kalimah Allah pada pukul 4.30 petang dan ditutup pada pukul 8.30 malam apabila kutipan tabung mencapai sasaran RM20,000. Poster penutupan kutipan tabung juga ditular sama untuk memberitahu orang ramai ketelusan kutipan yang PEMBELA gerakkan.

4. Tetapi sekitar pukul 12.00 tengah malam, Bendahari PEMBELA mengumumkan jumlah kutipan telah melebihi sasaran iaitu berjaya mengumpul sebanyak RM78,500.00. Kesemua wang kutipan telah diserahkan oleh PEMBELA kepada rider, persatuan mereka dan sedikit baki diserahkan kepada trustee yang akan menyimpan untuk sebarang perbelanjaan semasa sesi perbicaraan di mahkamah nanti.

5. Manakala pelanggan yang menghina Nama Allah dan agama Islam terus senyap begitu sahaja tanpa sebarang khabar berita. Tidak ada berita susulan tersiar baik di berita utama mahupun di media sosial biasa. Seolah-olah isu besarnya ialah kes rider belasah orang dan NGO yang disyaki membuat kutipan demi kepentingan peribadi. Isu penghina agama hilang daripada radar berita.

6. Sebenarnya, ramai tertanya-tanya apakah tindakan pihak berwajib selanjutnya terhadap pelanggan yang jelas telah menghina agama Islam. Insiden ini sekaligus menyangkal afidavit 3 tokoh yang diambil oleh Hakim apabila memutuskan hukuman isu Kalimah Allah; “She (Judge) also dismissed the government’s contention that the use of such words would result in disruption of public order, following three affidavits filed by lawyer Syahredzan Johan, Dr Azmi Shahrom and former law professor and now Tebing Tinggi assemblyman Dr Abdul Aziz Bari, which stated that the use of the word Allah by non-Muslims would not confuse them as Muslims.”

Pautan: https://www.theedgemarkets.com/article/high-court-rules-use-word-allah-nonmuslims-all-over-malaysia-allowed

7. Dakwaan ketiga-tiga tokoh ini boleh dibakul sampahkan kerana kualiti pemerhatian mereka bagai retorik politik dan tidaklah sehebat mana, apabila tidak sampai setahun afidavit mereka tertolak atau batal dengan insiden kurang ajar ini. Tidak mustahil jika kerajaan terus membisu dan mengambil sikap berlepas tangan terhadap penghina-penghina agama ini, keadaan akan bertambah teruk. Perkara ini telah berlaku apabila laman LGBT mempromosi slogan Allah Is Gay.

8. Sehingga artikel ini disiarkan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa. Seolah-olah merestui laman sesawang itu bebas berbuat apa sahaja kerana kononnya berpegang kepada prinsip “kebebasan hak asasi manusia”. Sedangkan perundangan negara memperuntukkan hukuman terhadap mereka yang menghina agama, dan melanggar undang-undang kesopanan hidup kemasyarakatan.

9. Sebagai Ketua Media PEMBELA, dan mengikuti kes ini secara dekat dan terlibat menyiarkan berita-berita semasa dengan penuh integriti, maka sudah tentu unit media kami sering menerima panggilan dan pesanan daripada ahli dan orang ramai yang bertanyakan perkembangan semasa kes penghinaan terhadap agama khususnya kes ini. Semoga penghina agama kali ini tidak terlepas lagi.

10. Walau apapun tindakan susulan yang akan diambil oleh pihak berwajib selepas ini, bagi yang melakukan kesalahan ia mesti dihukum, sama ada hukuman itu ringan atau berat. Tidak boleh ada kompromi lagi, jika tidak perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dan akhirnya berterusan berulang dalam keadaan yang semakin teruk dan semakin meluas. Perlembagaan memberi kebebasan beragama dan mengamalkan agama masing-masing, tetapi jangan sampai bebas menghina agama penganut agama yang lain.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button