Tempatan

Apakah Malaysia Akan Adaptasi ‘Tembok Palestin’? – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Tembok menghalang kemajuan

Tembok Berlin suatu ketika dahulu merupakan simbol pemisahan antara Jerman Barat dan Jerman Timur ketika itu. Ia juga lambang penindasan terhadap masyarakat Jerman Timur yang tidak menikmati kelunakan hidup sebagaimana rakan mereka di Jerman Barat. Namun tembok Berlin ini telah diruntuhkan hampir tiga dasawarsa lepas bagi penyatuan kepada negara Jerman. Kini Jerman tidak dikenali sebagai Jerman Barat dan Jerman Timur lagi tetapi sebagai sebuah negara iaitu Republik Jerman.

Masyarakat Jerman kini bersatu meninggalkan trauma sejarah silam dan bergerak ke hadapan  bagi membangun negara. Ideologi yang berbeza pada awalnya sukar menyatukan masyarakat Jerman kini sudah menjadi norma dan kesejagatan Jerman menjadi suatu kuasa yang kuat di dunia. Jerman kini tidak lagi menoleh ke belakang tetapi mengatur langkah memacu kegemilangan negara khususnya dan Eropah amnya. Kesatuan rakyat Jerman menjadi ramuan kepada kestabilan dan kemajuan negara Jerman yang bersatu. Mereka tidak mahu lagi dikenali dari Timur atau Barat tetapi hanya dari Jerman.

Timbul di benak fikiran saya  pula bagaimana pula keadaannya dengan tembok besar yang memisah rakyat Palestin dibina rejim Zionis. Penjara terbesar di dunia tersebut masih utuh malah dari masa ke semasa diperkukuh oleh rejim zionis dengan sokongan dan dokongan Amerika Syarikat.  Berbeza dengan Tembok Berlin, tembok pemisah di Palestin gagal diruntuhkan kerana ketidaksepakatan umat Islam sendiri. Umat Islam juga tidak berbalik kepada ajaran Al Quran dan Al Sunnah di dalam menangani isu Palestin. Sampai bilakah saudara kita di Palestin mesti menghadapi dugaan perit ini tanpa kepedulian masyarakat antarabangsa.

Keangkuhan rejim zionis tiada tolok bandingnya. Namun umat Islam masih alpa tidak mahu bersatu mempertahankan tempat suci ketiga Islam ini. Kerakusan rejim Zionis menindas umat Islam Palestin tidak dapat dibayangkan. Kesengsaraan dan penderitaan mereka hanya mereka yang merasainya. Walaupun pelbagai misi bantuan dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia namun ia masih belum dapat membebaskan bumi anbiya’ tersebut dari belenggu zionis. Persoalannya sampai bila mereka harus menderita? Pembunuhan kejam di Shabra dan Shatila kini langsung tidak diingati masyarakat sarwajagat. Terbaru ialah pengeboman di Gaza dan pengusiran penduduk Arab di Sheikh Jarrah.

Sementelah menekuni isu di Palestin saya juga terkenang bagaimana pula keadaannya di Malaysia. Walaupun analogi fizikal tidak dapat dibuat kerana tiada tembok pemisah dibina di Malaysia, namun tembok yang lebih kukuh sebenarnya sudahpun dipasakkan di tanah air. Ideologi politik dan perbezaan fahaman politik amat ketara di Malaysia. Ia  menjadi tembok yang lebih kukuh memisahkan rakyat Malaysia berbanding dengan Tembok Berlin ataupun tembok dibina rejim zionis di Palestin.  Kita dilihat dalam apa jua keadaan neraca yang digunakan oleh rakyat Malaysia di dalam menilai sesuatu isu itu adalah neraca politik kepartian bukan neraca kebenaran. Parameter politik kepartian ini begitu berjaya melakar topografi pemikiran rakyat sehingga ramai yang sanggup bermusuhan sesama sendiri dalam isu remeh-temeh.

Seharusnya umat Islam bernaung di bawah payung negara Yang di-Pertuan Agong demi kesatuan ummah serta kecemerlangan serta kelestarian negara.

Persoalannya, sampai bila masyarakat Islam Malaysia mahu berpecah-belah atas isu politik kepartian. Tidak bolehkah sekurang-kurangnya dalam isu agama masyarakat Islam bersatu? Lupakah kita kepada  ayat Al Quran yang bermaksud seperti di bawah:

Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Aku. Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belahdalam urusan agama mereka; mereka semuanya akan kembali kepada Kami. (Surah Al-Anbiyaa, ayat 92-93)

Jauh saya menduga minda memikirkan adakah Malaysia akan mengadaptasi ‘Tembok Berlin’ ataupun ‘Tembok Palestin’?  Moga bibit perpaduan dapat disemai dan tembok pemisah ini dapat diruntuhkan demi kesejahteraan ummat dan negara.

Penulis adalah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

 

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button