NGO

APAKAH LOGO 18SX, MENGHALALKAN ADEGAN BOGEL DAN SEKS DITAYANG KEPADA UMUM? – HJ RASHIDI HARIS

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Tidak dinafikan tugas dan tanggungjawab Lembaga Penapis Filem (LPF) bukanlah suatu yang mudah, namun ia tetap perlu dilaksanakan. Setiap tapisan itu perlulah tanpa menghilangkan maksud cerita yang hendak disampaikan.

2. Baru-baru ini, Astro Channel HBO sedang menayangkan sebuah drama bersiri yang berjudul The Nevers yang berkonsepkan Sci-Fi. Malangnya, drama bersiri tersebut mempunyai adegan yang tidak senonoh untuk ditayangkan kepada masyarakat umum dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara – Kesopanan dan Kesusilaan.

3. Ini bukan kali pertama ia berlaku bahkan sebelum ini juga Astro pernah menayangkan drama yang jalan ceritanya serta adegannya mempunyai banyak adegan lucah menerusi drama The Magnificent Century. Pihak Astro sepatutnya mengambil pengajaran, dan perlu mengambil sikap bertanggungjawab, daripada insiden tersebut dengan melakukan penapisan kendiri yang lebih tegas.

4. LPF dan JAKIM perlu memainkan peranan dalam menangani isu drama yang mempunyai adegan-adegan lucah yang melampau dan tanpa seurat benang menutupi bahagian dada untuk tontonan sekeluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

5. Drama yang bercanggah dengan budaya kita sebagai rakyat Malaysia tidak sepatutnya ditayangkan di negara ini. Pihak Astro sepatutnya lebih peka dan sensitif terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kekeluargaan di Malaysia. Astro tidak sepatutnya menjadi agen yang mempromosikan perbuatan yang boleh mengundang kepada masalah sosial dan keruntuhan moral dalam masyarakat.

6. LPF perlu memainkan peranan dalam menapis filem-filem sebelum ditayangkan kepada umum di negara ini sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Penapisan Filem 2002. Lakonan mengghairahkan hanya akan menyebabkan kerosakan minda dan boleh mendorong kepada jenayah seks seperti seks rambang, seks sejenis dan yang paling membimbangkan jenayah rogol berleluasa yang boleh sampai ke tahap membunuh.

7. Pihak berwajib harus sedar bahawa hampir 60% statistik jenayah adalah berpunca daripada pengaruh menonton TV. Dalam satu kajian menyebut bahawa sikap-sikap negatif seperti salah laku, rogol, buli, serangan, pelacuran remaja dan peras ugut adalah antara sikap yang dipelajari daripada media TV.

8. Suatu yang agak pelik juga apabila pentadbiran kerajaan hari ini yang dikatakan gabungan terbaik dengan parti bertunjangkan agama dan nasionalis yang sama-sama memperjuangkan agama, bangsa dan negara dilihat seolah-olah tersasar jauh menyimpang daripada dasar perjuangannya. Ke mana hilangnya konsep Islamik yang dilaung-laungkan sebelum ini?

9. Semoga teguran lebai kampung ini mendapat perhatian sewajarnya dari lebai-lebai politikus yang jauh lebih alim yang sentiasa ada dalil-dalil bagi mempertahankan diri dan kelompok mereka. Pihak Lembaga Penapis Filem bertanggungjawab dan memikul beban besar jika jenayah berlaku dalam negara disebabkan kegagalan mereka menapis dan mengawal lambakan film berunsur maksiat masuk ke dalam negara dan melekat di minta-minda rakyat terutamanya golongan remaja.

Haji Rashidi Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT
Ketua Media PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button