Tempatan

Terdapat Pemandu E-Hailing Khianat Negara, Seludup Masuk PATI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 – “Disebabkan tamak dengan wang ringgit, rakyat Malaysia sendiri sanggup menggadaikan maruah negara, bukan setakat menjadi mata dan telinga penjenayah, tapi membantu pelbagai segi untuk melancarkan kemasukan PATI ini.”

“Mereka ini bukan sekadar menjadi tekong, malah ada yang turut menjadi mata-mata sindiket penyeludupan hanya kerana laparkan wang dan mendambakan kehidupan mewah hasil kerja haram yang dilakukan.”

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, apa yang menyedihkan, mereka yang terlibat bukan sahaja berani melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, bahkan membelot negara sendiri.

Menurut kenyataan Kamal Affandi, Pemandu e-Hailing, pemilik bot, premis atau kediaman antara penduduk tempatan yang direkrut menjadi pengkhianat kepada negara apabila mereka bersetuju untuk membantu sindiket bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini, lapor media tempatan.

“Harus diingat, mereka yang terlibat dalam sindiket penyeludupan PATI ini adalah pengkhianat kepada Malaysia. Tiada tempat bagi orang seperti anda di negara ini. Ia merupakan satu pembelotan terhadap negara dan mereka yang terlibat ini harus dihukum dengan hukuman yang keras.”

Penganalisis jenayah itu turut menegaskan bahawa, kita jangan pertikaikan tugas pihak berkuasa yang menjalankan tanggungjawab menjaga kedaulatan negara dengan sepenuh jiwa dan raga malah, sikap segelintir warga tempatan yang bertindak menjadi duri dalam daging, sekali gus merencatkan usaha pihak berkuasa dalam mencegah jenayah ini.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus mendedahkan, seramai 277 penduduk tempatan yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan ditahan pada tahun 2020 dan 138 orang pada tahun 2021.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan penglibatan warga tempatan dengan sindiket ini. Mereka merupakan dalang apabila menerima suapan untuk menjadi tonto, tekong darat, tekong laut serta transporter.”

“Ejen sindiket akan mengenal pasti individu tempatan yang berpotensi untuk membantu dalam operasi haram mereka sebelum direkrut,” ujar beliau yang turut mendapati, warga tempatan yang bertindak sebagai tonto akan dibayar mengikut perjalanan migran dari kawasan yang berjaya dimasuki sehingga ke destinasi dituju.

Malah, ejen yang tidak kisah mengenai soal wang ringgit ini sanggup bertindak berani dengan menggunakan khidmat pemandu e-Hailing bagi membawa PATI berkenaan.

Oleh itu, Asisten Komisioner Fadil menjelaskan, selain operasi pembanterasan jenayah penyeludupan migran yang merupakan salah satu tumpuan utama JSJ Bukit Aman, tindakan pencegahan penyeludupan PATI turut dilaksanakan dengan mengesan dan menjalankan tangkapan terhadap kumpulan yang terlibat secara langsung kemasukan PATI.

“Mereka yang ditangkap ini terdiri daripada tekong-tekong, ejen dan penyedia rumah-rumah penampungan migran yang diseludup keluar atau masuk ke Malaysia.”

“Antara sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan termasuk Geng Otong yang aktif dalam penyeludupan migran di kawasan perairan timur Johor, Geng Halim yang sebelum ini bergiat aktif di perairan Hutang Melintang, Perak serta Geng Husen Maungdaw yang diketuai oleh seorang etnik Rohingya dan bergiat aktif di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam jenayah rentas sempadan ini.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah ini akan diambil tindakan tegas di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 atau Akta 670.”

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya.”

“Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Seksyen 268 akta sama iaitu kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat jika kesalahan penyeludupan migran itu dilakukan oleh pegawai awam dalam melaksanakan kewajipan berkaitan tugasnya.”

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, denda atau kedua-duanya serta seksyen peruntukan lain yang relevan dalam akta sama,” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: