Apa Guna Wang Kalau Kita Tidak Ada Makanan – Dato’ Abdul Manap Abd Wahab
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 – “Kenaikan harga barang menimpa secara bertalu-talu semenjak dua menjak ini adalah disebabkan beberapa perkara iaitu kekurangan barang berbanding permintaan dan kejatuhan nilai mata wang,” ujar Dato’ Abdul Manap Abd Wahab.
Pada pendapat saya, harga barang meningkat kini adalah kerana pengurangan supply antaranya disebabkan oleh peperangan di Ukraine dan juga kejatuhan nilai wang kita yang menyebabkan harga barangan import menjadi lebih mahal.
Sebagai contohnya, kita lihat negara Ukraine mengeksport kurang lebih 10% gandum di dunia manakala Rusia menghasilkan sebanyak 17%. Disebabkan peperangan yang sedang berlaku, negara-negara yang menghasilkan gandum mengurangkan eksport gandum sebab mereka hendak memastikan cukup makanan untuk warga mereka.
Maka, disebabkan oleh kekurangan supply gandum, maka negara-negara lain sanggup membayar harga yang lebih tinggi sebab kalau rakyat tidak punya makanan kemungkinan mereka memberontak sangatlah tinggi.
“Satu lagi contoh adalah Indonesia yang melarang penghasil sawit daripada mengeksport minyak sawit,” ujarnya.
Menyentuh soal tekanan daripada kartel-kartel perniagaan yang dikatakan memainkan peranan besar dalam krisis ini, beliau berkata, kartel-kartel adalah peniaga-peniaga atau individu yang boleh mengawal harga barangan sebab mereka adalah pemain yang select few yang membawa masuk sesuatu barang masuk ke dalam negara.
“Sudah tentu tujuan atau objektif kartel-kartel ini adalah untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin,” katanya.
Beliau berkata, kita tidak menolak ada kemungkinan mereka dengan sengaja menaikkan harga, tapi kalau masyarakat merasakan harga terlalu tinggi, masyarakat akan tukar selera dan mencari sesuatu yang lebih murah. Ini akan menjejaskan keuntungan mereka menjadi tipis atau mereka akan kerugian.
Selain itu, ada juga kemungkinan mereka terpaksa menaikkan harga disebabkan harga kemasukkan atau kos belian mereka juga sudah naik. Jadi untuk mengekalkan keuntungan, mereka terpaksa naikkan harga.
Kita lihat, misalnya dalam trend atau hierarki penternakan ayam ada 3 komponen; yang pertama supply anak ayam, kemudian kualiti anak ayam, ketiga supply dedak atau makanan ayam dan yang keempat harga baja.
Ujarnya, di sini, kualiti anak ayam akan menentukan besarnya dan berat ayam setelah besar dan juga persen kematian.
“Saya difahamkan, anak ayam kualiti A dan B dijual kepada penternak-penternak yang besar sedangkan penternak-penternak kecil mendapat kualiti C.”
“Jadi kadar kematian anak ayam agak tinggi hingga melebihi 5% dan ini sekaligus mengurangkan keuntungan penternak kecil terutamanya,” katanya.
Tambah beliau, satu lagi isu penting adalah dedak. Sekiranya harga dedak melambung maka harga ayam juga akan turut melambung. Sumber dedak atau makanan ayam adalah dari hasil pertanian, tanaman jagung dan sebagainya. Kalau harga baja naik maka harga dedak akan naik dan harga ayam juga akan naik.
Ditanya, apakah peranan pemimpin dalam mencegah, mengatasi dan menyelesaikan masalah ini serta cadangan dasar, perubahan polisi dan sistem yang beliau boleh cadangkan?
Beliau yang merupakan mantan CEO sebuah bank konvensional dan Islamik yang berpengalaman lebih 25 tahun itu berkata, apa gunanya wang kalau kita tidak ada makanan?
Menurut Abdul Manap, kita sudah menghadapi beberapa isu makanan terutama daging ayam dan daging lembu, maka sudah tentu food security sangat penting untuk sesebuah negara. Risiko kekurangan makanan kita tinggi sekiranya kita terlalu bergantung pada import daripada negara luar. Lebih-lebih lagi dengan kejatuhan nilai mata wang kita.
Justeru, Kerajaan mesti mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran hasil daripada sumber pertanian negara kita.
Bagaimanapun jelas beliau, petani dan penternak mesti mendapat keuntungan yang sewajarnya bagi memastikan survival mereka untuk terus menjalankan aktiviti penternakan dan pertanian secara aktif.
Beliau berkata, kita ada ramai graduan dari Universiti Pertanian yang berilmu dalam bidang pertanian tetapi tak mahu menceburi diri dalam pertanian sebab mereka merasakan pulangan terlalu sedikit.
Maka, sudah sampai masanya kita mesti memberi mereka peranan dan peluang kepada mereka untuk menjadi petani dan penternak profesional.
Persoalannya, sekiranya ada rakyat yang kebuluran, terpaksa mengemis, melakukan perkara yang haram untuk kelangsungan hidup, adakah pemimpin akan dipertanggungjawabkan ataupun adakah hal ini hasil daripada krisis ekonomi semata-mata?
Dato Abdul Manap menegaskan, hal ini sudah berlaku di beberapa negara lain seperti di Venezuela, Greece dan juga Indonesia ketika krisis kewangan pada tahun 1998 dan 2009.
Jelasnya, bila nilai wang kita jatuh maka import akan menjadi mahal dan kemasukkan barang makanan akan terjejas. Nilai mata wang sesebuah negara bergantung kepada pengurusan negara oleh pemimpin-pemimpin kita. Jadi sudah semestinya kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang sangat teliti, profesional, amanah dan fokus kepada negara dan rakyat.
Tambah beliau, tidak dinafikan terdapat beberapa kebangkitan rakyat dalam sejarah yang berpunca daripada kebuluran dan kelemahan ekonomi, namun pada pandangan saya hal yang sedemikian agak mustahil boleh terjadi di Malaysia dalam situasi di tahap hari ini.
Bagaimanapun, kita tidak dapat menolak kemungkinan yang boleh berlaku jika tidak ada tindakan segera oleh pihak Kerajaan bagi memulihkan segera tahap ekonomi negara.
“Saya rasa tahap kesabaran rakyat Malaysia lebih tinggi daripada rakyat-rakyat negara lain tetapi sekiranya ianya berlarutan dan kebuluran terjadi, saya rasa rakyat Malaysia juga akan bangkit,” ujarnya mengakhiri kenyataan.