Apa Guna Kemenangan Besar Jika Tiada Manfaat Buat Islam – Dato’ Zainul Rijal
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2022 – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin dianggap sebagai satu kerugian jika tidak dimanfaatkan untuk mengangkat kedudukan agama Islam di negeri tersebut, ulas Dato’ Zainul Rijal dalam hantaran Facebook beliau.
“Majoriti dua pertiga sudah dimiliki. Apa guna kemenangan besar ini jika tidak memanfaatkan Islam.”
Dalam hantaran yang sama, beliau yang merupakan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada parti BN atas kemenangan mereka dan menghormati pilihan rakyat dalam PRN Johor.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor bagi mewujudkan peruntukan mengenai penubuhan Mahkamah Syariah di dalam undang-undang tertinggi negeri tersebut.
Pada waktu yang sama, Dato’ Zainul Rijal menasihati pengundi-pengundi negeri itu berkenaan tugas mereka yang seharusnya kerap berjumpa wakil rakyat bukan sahaja setiap lima tahun sekali ketika pilihan raya berlangsung.
Jelasnya, para pengundi perlu memastikan wakil rakyat berbincang dan membuat keputusan mengenai perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada agama Islam. Mereka juga perlu didesak supaya mengusahakan pembangunan dan memelihara kedudukan tinggi agama Islam di negeri tersebut.