Tempatan

Penceramah Tanpa Tauliah Boleh Dikenakan Tindakan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR, 09 Mac 2023 – Penceramah yang memberikan syarahan agama Islam tanpa tauliah di Negeri Johor adalah suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan, menurut sebuah kenyataan yang diterbitkan di laman Facebook rasmi DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan tersebut bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaluddin A Hamid.

BACA JUGA: 15 Pusat Pemindahan, Tempatkan Lebih 2,000 Mangsa Banjir Pahang

BACA JUGA: JAKIM Gesa Peniaga Dekorasi Al-Quran Buat Semakan

BACA JUGA: Arab Saudi Umum Peraturan Baharu Sempena Ramadhan

Ia adalah bagi menjunjung titah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung penegasan untuk penceramah memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam Negeri Johor.

Menurut kenyataan tersebut, demi mengawal doktrin serta fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri berkenaan, mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri Johor atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah dari MAINJ.

Tauliah tersebut meliputi di masjid, surau serta mana-mana tempat dalam negeri Johor selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Mana-mana orang yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di Negeri Johor tanpa tauliah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan berdasarkan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.”

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” memetik kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa mereka yang bertindak sebagai penganjur kepada acara mengajar serta memberi syarahan agama Islam yang menggunakan penceramah tanpa tauliah MAINJ juga merupakan suatu kesalahan penyubahatan sebagaimana Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 45 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Justeru, masyarakat Islam di Negeri Johor diseru agar mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan itu demi memastikan syiar Islam di Negeri Johor dilaksanakan dan ditegakkan dengan benar dan betul serta berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

“MAINJ merupakan pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim agar mematuhi hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah, syariatnya berlandaskan mazhab Syafie tanpa menolak mazhab-mazhab muktabar lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” kata kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: