Antiminyak Sawit: KPPK Terus Berjuang Tangkis Propaganda Barat
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2022 – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertekad untuk berjuang menangkis propaganda antiminyak sawit dari sesetengah blok Barat.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, KPPK meletakkan tekad itu demi membela nasib pekebun kecil agar punca rezeki mereka tidak disekat oleh propaganda itu.
“Kami akan terus mendidik masyarakat berhubung salah faham mengenai minyak sawit menerusi “Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk tampil mempertahankan komoditi utama negara itu.
Dalam pada itu, KPPK turut menerbitkan klip video berdurasi tiga minit yang bertajuk ‘Tanah Ini Milik Kita’ bertujuan untuk menangkis propaganda Barat terutamanya yang melemparkan dakwaan bahawa perladangan kelapa sawit negara ini telah memusnahkan kawasan hutan negara.
“Melalui hasil karya ini, kita menyaksikan kisah tiga sekeluarga, bagaimana si ayah, ibu dan anak perempuan mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit melalui prosedur yang betul, bukannya secara penerokaan haram seperti yang kerap dimomok-momokkan melalui kempen antiminyak sawit,” jelasnya.
Terdahulu, Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan penggunaan minyak sawit atas faktor penebangan hutan yang berleluasa di Malaysia dan Indonesia sekali gus memutuskan untuk menggunakan minyak bunga matahari sebagai biofuel alternatif yang dihasilkan Eropah.