NGO

ANGGOTA KABINET TERUTAMA JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI MESTI BERSIH, BERWIBAWA DAN BERMORAL – PEMBELA

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Pertamanya dalam kesempatan ini, PEMBELA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9, setelah Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Haji Md. Yasin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu. Sudah tentu YAB Perdana Menteri akan berhadapan dengan tugas-tugas berat yang dipertanggungjawabkan, apatah lagi di saat Pandemik Covid-19 ini sedang memuncak.

PEMBELA faham YAB Perdana Menteri sedang menghadapi tekanan dan bebanan yang berat. Justeru, PEMBELA menyeru agar pelantikan anggota Kabinet baharu dipercepatkan bagi menyusun perancangan drastik bagi menangani perkara paling utama iaitu pandemik Covid-19, merangsang semula ekonomi negara serta kesejahteraan sosial rakyat agar dapat dipulihkan segera selari dengan ucapan pertama YAB Perdana Menteri semalam.

Memandangkan YAB Perdana Menteri masih lagi belum melantik anggota Kabinet baharu, termasuk Timbalan Perdana Menteri bagi membantu melaksanakan fungsi eksekutif Perdana Menteri, PEMBELA berpandangan barisan Jemaah Menteri yang bakal dilantik hendaklah dari kalangan tokoh pemimpin yang berwibawa.

PEMBELA menyarankan agar YAB Perdana Menteri melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan tokoh terbaik yang mempunyai ciri-ciri berwibawa, cekap, amanah dan bersih dari sebarang skandal serta tidak terpalit dengan sebarang kes mahkamah termasuk keruntuhan akhlak dan moral yang boleh memudaratkan kedudukan integriti Jemaah Menteri itu sendiri. Malah seorang anggota Jemaah Menteri juga mestilah dari kalangan mereka yang mempunyai kesedaran beragama yang tinggi.

Sekiranya YAB Perdana Menteri benar-benar mahu melakukan satu anjakan paradigma dalam pentadbiran negara dan melakar sejarah baharu, YAB Perdana Menteri perlu bertindak bijak, tegas dan meletakkan piawaian tinggi bagi seseorang menjawat jawatan menteri di dalam Kabinet beliau. Untuk kekal di tampuk kepimpinan dan memperolehi kepercayaan rakyat, YAB Perdana Menteri mestilah dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang dibantu oleh Jemaah Menteri berwibawa serta berintegriti tinggi.

PEMBELA berharap agar kerajaan ini dapat terus kekal mentadbir negara tanpa sebarang gangguan propaganda politik oleh mana-mana pihak sehingga ke PRU-15 akan datang. Negara tidak mampu menghadapi satu lagi perubahan pimpinan dalam masa terdekat ini. Dan yang lebih penting lagi mendapat bantuan ALLAH yang amat kita perlukan di saat getir ini.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button