Anggap Kemunduran & Kemiskinan Sabah Berpunca Pemimpin Tempatan Korup, Rafizi Ramli Dituntut Mohon Maaf
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA KINABALU, 11 November 2022 – Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jeffrey Kitingan menggesa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk memohon maaf susulan kenyataannya dalam perutusan Hari Malaysia yang menganggap kemunduran dan kemiskinan Sabah berpunca daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pemimpin Sabah.
Lapor sebuah portal berita tempatan, pemimpin GRS itu meminta Rafizi untuk berbuat sedemikian sekiranya beliau bercita-cita untuk menjalin kerjasama dengan gabungan tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau berkata, biarpun idea Rafizi untuk bekerjasama dengan GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan adalah “praktikal dan satu langkah ke arah yang betul”, namun kenyataan yang dikeluarkan Rafizi tetap mengejutkan.
“Adakah Rafizi percaya dengan kekecewaan dan permintaan pemimpin negeri? Adakah beliau percaya dengan rungutan pemimpin Sabah?”
“Jika begitu, dia mesti memohon maaf terlebih dahulu atas penerangannya tentang pemimpin Sabah,” tegas beliau.
Menurut penganalisis sosio-politik Universiti Malaya (UM), Awang Azman Pawi, Rafizi telah ‘menembak diri sendiri’ susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Jelas beliau, Rafizi berpotensi untuk dipersalahkan sekiranya GPS dan GRS menolak pendekatan PH untuk membentuk Kerajaan susulan tindakannya itu.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Abang Johari Openg mengatakan bahawa GPS tidak boleh bekerjasama dengan DAP susulan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga mantan Menteri Kewangan bahawa negeri itu akan muflis dalam tempoh tiga tahun.